Ekonomi 01/08/2026 02:50 PM

Agrobank Salur RM46 Juta Pembiayaan Mikro, Perkasa Usahawan Kelantan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Agrobank Salur RM46 Juta Pembiayaan Mikro, Perkasa Usahawan Kelantan
Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Husin (dua, kiri) menyerahkan sumbangan khemah kepada wakil peniaga di pasar Bandar Baru Jelawat sempena program mikro kredit turun padang Agrobank, hari ini.

KOTA BHARU, 1 Ogos (Bernama) -- Agrobank menyalurkan RM46 juta menerusi 765 pembiayaan mikro kepada usahawan di Kelantan dalam tempoh Januari 2025 hingga Julai 2026, sekali gus memperluas akses kewangan serta membantu perusahaan mikro mengembangkan perniagaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata bank itu akan terus memperluas pendekatan turun padang bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan bagi memudahkan akses usahawan kepada pembiayaan dan perkhidmatan kewangan.

"Kami terus memperkukuh sokongan kepada usahawan mikro di Kelantan menerusi pendekatan turun padang dengan memperluas akses kepada perkhidmatan perbankan, pembiayaan dan pembayaran digital melalui Program Karnival Usahawan Bachok 2026.

"Pendekatan ini membolehkan Agrobank mendekati usahawan mikro secara langsung, sekali gus memahami keperluan sebenar mereka dan menawarkan penyelesaian kewangan yang bersesuaian," katanya kepada pemberita selepas Program Mikro Kredit Turun Padang di Pasar Bandar Baharu Jelawat, Bachok, hari ini.

Beliau berkata inisiatif itu bukan sahaja memudahkan usahawan mendapatkan pembiayaan, malah membantu mereka membina asas perniagaan yang lebih mampan menerusi akses kepada perkhidmatan perbankan, pembayaran digital dan khidmat nasihat.

Menurut beliau kerjasama strategik dengan PBT turut menyokong penyediaan persekitaran perniagaan yang lebih tersusun dan kondusif kepada peniaga yang sebelum ini berniaga di pasar lama dan kawasan tepi jalan.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata sambutan terhadap skim pembiayaan mikro di Kelantan terus menggalakkan apabila lebih 4,000 usahawan mikro dan peniaga kecil menerima pembiayaan Agrobank dengan nilai keseluruhan RM147 juta.

Beliau berkata program Mikro Kredit Turun Padang turut merekodkan kadar pembukaan akaun sebanyak 94.3 peratus dalam kalangan peniaga.

"Semua peniaga yang membuka akaun turut dilengkapi kemudahan DuitNow QR, sekali gus mencapai kadar penggunaan pembayaran digital sebanyak 100 peratus.

"Pencapaian ini mencerminkan kesediaan usahawan mikro untuk beralih kepada kaedah perniagaan yang lebih moden, cekap dan berdaya saing selaras dengan agenda pendigitalan ekonomi," katanya.

-- BERNAMA