Am 01/08/2026 01:39 PM

PGA Tumpas Kegiatan Seludup Migran, Lapan Warga Indonesia Ditahan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PGA Tumpas Kegiatan Seludup Migran, Lapan Warga Indonesia Ditahan
SAC Ahmad Radzi Hussain

KOTA BHARU, 1 Ogos (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan penyeludupan migran selepas menahan lapan warga asing dan dua warga tempatan di sebuah rumah di Kampung Gong Serapat, Pasir Puteh, semalam. 

Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata serbuan dijalankan hasil risikan Cawangan Risik Batalion 7 PGA Kuantan dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh kira-kira 7.20 malam.

"Dalam operasi itu, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan yang dipercayai pemilik rumah, selain lapan warga Indonesia terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita berusia 20 hingga 56 tahun kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Polis turut merampas 10 unit telefon bimbit bernilai kira-kira RM22,000, selain seutas rantai, mangga kunci dan anak kunci yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan. Ujian saringan awal air kencing terhadap semua ditahan didapati negatif daripada sebarang jenis dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Radzi berkata siasatan awal mendapati kesemua warga Indonesia terbabit dipercayai memasuki Malaysia dari Thailand melalui pangkalan haram di sekitar Sungai Kelantan pada 30 Julai lepas sebelum dihantar ke rumah berkenaan.

"Mereka dipercayai membayar RM4,000 seorang kepada ejen di Indonesia untuk mengatur kemasukan ke negara ini dan berhasrat ke Kuala Lumpur bagi bekerja sebagai buruh binaan serta pekerja pembersihan yang didakwa akan diuruskan seorang lelaki tempatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

--BERNAMA