Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
GLASGOW, 31 Julai (Bernama) -- Doa jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang untuk menamatkan penampilan terakhirnya di Sukan Komanwel dengan pingat emas akhirnya dimakbulkan apabila muncul juara acara keirin lelaki pada edisi Glasgow 2026 di sini, Sabtu.
Kejayaan bersejarah di Velodrom Sir Chris Hoy itu menamatkan penantian panjang Mohd Azizulhasni untuk bergelar juara Sukan Komanwel selepas sebelum ini sekadar meraih dua pingat gangsa, selain pernah dinafikan pingat emas pada edisi New Delhi 2010 apabila kemenangannya dibatalkan.
Masih diselubungi emosi sejurus perlumbaan berakhir, pelumba kelahiran Terengganu berusia 38 tahun itu berkata kemenangan tersebut lebih bermakna kerana hadir selepas doa yang tidak pernah putus dipanjatkannya sepanjang berada di Glasgow.
Sambil menahan sebak, Azizulhasni berkata pingat emas itu amat istimewa kerana beliau merancang menamatkan kariernya di pentas Sukan Komanwel selepas edisi kali ini.
“Saya berdoa sangat dekat Allah setiap hari. Saya cakap, ‘Ya Allah, tolonglah berikan saya pingat emas. Saya nak sangat akhirkan kerjaya saya ini dengan pingat emas.’ Alhamdulillah Allah makbulkan doa saya,” katanya yang diberi julukan 'The Pocket Rocketman' ketika ditemui Bernama selepas final.
“Ini Sukan Komanwel terakhir saya, dapat pula emas... tiada lagi yang saya boleh minta. Saya nak buktikan kepada diri sendiri dan kepada dunia bahawa saya masih boleh menang pada usia 38 tahun. Alhamdulillah, hari ini saya telah membuktikannya kepada seluruh dunia,” kata juara dunia keirin 2017 itu.
Pada perlumbaan itu, Azizulhasni mempamerkan kayuhan cemerlang untuk menewaskan pelumba Australia Leigh Hoffman yang meraih pingat perak, manakala wakil England Harry Ledingham-Horn melengkapkan podium dengan pingat gangsa.
Seorang lagi pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom menduduki tempat ketujuh.
Azizulhasni berkata beliau memilih untuk bersabar sepanjang perlumbaan sebelum mengambil peluang memintas Hoffman sebaik melihat ruang terbuka ketika memasuki selekoh pertama, sekali gus menguasai perlumbaan hingga melintasi garisan penamat.
Pemenang pingat perak acara keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu turut mengakui sukar mempercayai dirinya mampu menewaskan barisan pelumba yang dianggap lebih kuat, namun percaya pengalaman dan kebijaksanaan taktikal menjadi pemisah.
“Seperti yang anda semua saksikan, saya benar-benar sebak selepas dibuai emosi sebaik perlumbaan itu berakhir. Saya rasa sangat sebak dan sangat tidak percaya kerana kalau dibandingkan dengan semua pelumba dalam final tadi, saya ialah pelumba yang mempunyai tahap kuasa kayuhan lebih rendah.
“Saya mengambilnya selangkah demi selangkah. Saya percaya kepada diri sendiri dan kemampuan saya. Dalam keirin, yang paling utama ialah taktikal.
“Hari ini saya membuktikan kepada dunia bahawa saya ialah pelumba paling bijak dari segi taktikal dalam acara keirin,” katanya.
Sebagai rekod, Azizulhasni yang membuat penampilan keempat di Sukan Komanwel pernah merangkul pingat gangsa dalam acara pecut berpasukan pada edisi 2010 dan keirin pada edisi 2014 di Glasgow.
Kejayaan itu turut menghadiahkan pingat emas ketujuh buat kontinjen Malaysia di Glasgow 2026, selain menjadi emas sulung skuad berbasikal trek negara pada temasya kali ini.
-- BERNAMA