Dunia 01/08/2026 08:43 AM

Presiden FIFA Batal Rancangan Jual Pegangan Dalam Entiti Piala Dunia - Laporan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Presiden FIFA Batal Rancangan Jual Pegangan Dalam Entiti Piala Dunia - Laporan
Gianni Infantino--REUTERS

HAMILTON (Kanada), 1 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Presiden FIFA Gianni Infantino membatalkan rancangan untuk menjual pegangan dalam entiti yang menguruskan Piala Dunia selepas cadangan itu mencetuskan perbalahan, lapor Sky News pada Jumaat.

Memetik kenyataan eksklusif ketua badan induk bola sepak dunia itu, laporan berkenaan menyebut Infantino memutuskan bahawa inisiatif itu tidak lagi wajar diteruskan kerana menimbulkan terlalu banyak pertikaian.

“Selepas mendengar dengan teliti semua pandangan, jelas bahawa projek ini telah mencetuskan perpecahan yang menyebabkan ia tidak lagi memenuhi kepentingan matlamat asal, tanpa mengira tahap sokongan yang diterima,” kata beliau kepada Sky News, menurut Anadolu Ajansi.

“Matlamat kami sejak awal dan akan terus kekal adalah untuk menyatukan serta membawa penambahbaikan. 

“Cadangan ini tidak akan diteruskan,” katanya sambil menegaskan bahawa misi FIFA tidak berubah.

Infantino berkata beliau bercadang menghimpunkan semula pihak berkepentingan dengan matlamat untuk terus mengembangkan bola sepak di seluruh dunia, khususnya di negara yang paling memerlukan sokongan FIFA.

Menurut laporan itu, rancangan berkenaan melibatkan penjualan kira-kira 20 peratus pegangan dalam anak syarikat baharu FIFA Forward Enterprise, yang dianggarkan bernilai US$20 bilion kepada pelabur swasta.

Pada Selasa, FIFA mengumumkan rancangan menubuhkan anak syarikat bernilai US$20 bilion bagi menguruskan Piala Dunia serta kejohanan lain anjurannya, dengan sehingga 20 peratus pegangan akan ditawarkan kepada pelabur luar.

Infantino, 56, menjalinkan hubungan rapat dengan Donald Trump ketika kejohanan Piala Dunia tahun ini dan beberapa kali berusaha memperkukuh hubungan dengan Presiden Amerika Syarikat itu, termasuk menyampaikan Hadiah Keamanan FIFA yang julung kali diperkenalkan kepadanya pada Disember.

-- BERNAMA-ANADOLU