Dunia 01/08/2026 09:07 AM

Hampir Semua Migran Pulang Ke Maghribi Dari Ceuta - Sepanyol

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Hampir Semua Migran Pulang Ke Maghribi Dari Ceuta - Sepanyol
--REUTERS

GENEVA/LONDON, 1 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Hampir semua migran yang memasuki Ceuta telah pulang ke Maghribi, kata Menteri Luar Sepanyol Jose Manuel Albares pada Jumaat sambil menggesa agar penyebaran maklumat palsu secara sengaja dihentikan.

“Tidak mungkin seseorang bergerak dari Ceuta dan Melilla ke tanah besar Sepanyol tanpa melalui proses pengenalan diri di pusat pemeriksaan polis. 

“Keutuhan Kawasan Schengen terjamin sepenuhnya. Cukuplah dengan penyebaran maklumat palsu yang disengajakan,” kata beliau menerusi platform X, menurut Anadolu Ajansi.

Agensi berita Sepanyol EFE sebelum ini melaporkan ratusan pendatang tanpa izin menuju ke sempadan pada petang Jumaat untuk pulang ke Maghribi, susulan perjanjian penghantaran pulang antara kedua-dua negara. 

Pengawal Awam Sepanyol dan Kumpulan Regulares No. 54 tentera negara itu dikerahkan di sepanjang kawasan Pantai Tarajal bagi menghalang kemasukan lanjut melalui laut.

Menurut pihak berkuasa Sepanyol, sekurang-kurangnya 57 orang terkorban dalam krisis migrasi berkenaan.

Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez pada Jumaat menyifatkan kemasukan beramai-ramai pendatang tanpa izin ke Ceuta sejak Khamis sebagai “satu serangan” dan “pencabulan keutuhan wilayah Sepanyol”, sambil berikrar akan memulihkan keadaan seperti sediakala secepat mungkin.

-- BERNAMA-ANADOLU