JELEBU, 1 Ogos (Bernama) -- Penampilan seorang wanita Orang Asli yang lengkap dengan telepok putih, sejenis aksesori kepala tradisional wanita dalam adat Perpatih, mencuri perhatian di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Putra, Simpang Durian, di sini hari ini.
Limah Ujang, 68, yang turut mengenakan baju opah atau dikenali sebagai baju kurung Kedah, dan berkain batik, tampil anggun dalam busana tradisional yang mencerminkan keunikan warisan budaya Negeri Sembilan yang sinonim dengan adat Perpatih itu.
Ibu Soko masyarakat Orang Asli suku Temuan itu berkata telepok berkenaan dipakainya setiap hari termasuk ketika ke kebun untuk menoreh getah, selain melambangkan kedudukannya sebagai ketua wanita dalam komuniti.
“Mak cik memang pakai telepok ini setiap hari, termasuk kalau pergi ke kebun toreh getah. Sangat selesa memakainya dan melambangkan simbol ketua wanita dalam masyarakat kami,” katanya kepada pemberita selepas mengundi di pusat pengundian itu.
Limah yang tinggal di Kampung Putra, berhampiran dengan pusat mengundi, berkata dia berjalan kaki ke sekolah berkenaan selepas bangun awal pagi untuk bersiap.
Walaupun sudah beberapa kali mengundi, Limah berkata anak-anaknya masih mengingatkannya tentang tatacara memangkah kertas undi.
“Kita sebagai orang tua ini cepat lupa, jadi anak-anak ada juga ingatkan macam mana hendak pangkah undi,” katanya sambil tersenyum.
Dalam pada itu, Ongngoi Mulim, 68, dari Kampung Ulu Lakai tetap bersemangat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda selepas mengalami strok ringan yang mengehadkan pergerakan kaki kirinya.
Ibu kepada dua anak itu berkata semangatnya untuk mengundi tidak pernah luntur walaupun sudah beberapa kali melalui proses pilihan raya.
“Disebabkan terlalu teruja, saya bangun seawal pukul 5 pagi walaupun rumah dekat sahaja dengan pusat mengundi,” kata Orang Asli suku Temuan itu.
Seorang lagi Orang Asli suku Temuan, Apok Kendong, 64, yang juga pengundi Orang Kurang Upaya (OKU), berkata kehilangan kaki kiri akibat komplikasi diabetes pada 2018 bukanlah alasan untuknya tidak mengundi.
Apok berkata anaknya sering membantu mengurus pergerakannya termasuk ketika mendapat rawatan di klinik, selain membawanya bersarapan sebelum hadir ke pusat pengundian hari ini.
“Selepas bangun dan mandi, saya tunggu anak bawa pergi sarapan dahulu sebelum datang mengundi. Saya sangat teruja datang sebab kita hendak memilih kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.
Apok berkata dia mula mengundi ketika berusia 20-an dan Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini merupakan kali kedua dia menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
SK Kampung Putra adalah antara lapan pusat mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang dan mempunyai tiga saluran mengundi.
DUN Pertang mempunyai 12,873 pengundi berdaftar, termasuk 14 anggota polis dan pasangan mereka.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA