KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Fenomena El Nino dijangka meningkatkan risiko cuaca panas, sekali gus menjejaskan aliran sungai serta paras air di empangan dan takungan. Impak perubahan iklim dijangka meningkatkan kejadian cuaca ekstrem dan memerlukan kesiapsiagaan terhadap peningkatan risiko tekanan bekalan air di negara.
Bagi meningkatkan kesiapsiagaan negara, pengurusan sumber dan bekalan air perlu diperkukuh melalui kepelbagaian sumber air alternatif seperti air hujan, air bawah tanah, simpanan air bersepadu, infiltrasi dasar sungai dan penyahgaraman air laut.
Pendekatan ini berteraskan konsep “tadah, simpan dan guna semula” (capture, store and reuse), iaitu mengoptimumkan pengumpulan, penyimpanan dan penggunaan semula air daripada pelbagai sumber bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber air konvensional. Melalui pendekatan ini, daya tahan sistem sumber dan bekalan air negara dapat diperkukuh dalam menghadapi fenomena El Nino serta cabaran perubahan iklim.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) sedang mempergiat penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi serta inovasi air bagi menyokong usaha kerajaan memperkukuh keselamatan sumber dan bekalan air negara.
Memanfaatkan Air Hujan sebagai Sumber Air Alternatif
Sebagai strategi jangka pendek, NAHRIM memperkukuh konsep “tadah” melalui Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) bagi meningkatkan penggunaan sumber air alternatif.
Dengan purata hujan tahunan negara antara 2,500 hingga 3,000 milimeter, SPAH wajar diperluas bagi kegunaan bukan minuman (non-potable) seperti cucian, siraman landskap, tandas, pembersihan premis, penyelenggaraan kawasan dan sokongan operasi harian. Pendekatan ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada bekalan air terawat, khususnya di kawasan yang berisiko mengalami tekanan bekalan air akibat peningkatan permintaan dan perubahan iklim.
Pelaksanaan SPAH turut boleh diperkukuh melalui sistem bekalan air hibrid yang menggabungkan air hujan dengan sumber alternatif lain seperti air bawah tanah, air nyahgaram, air sungai terawat, air tasik atau kolam takungan serta air kitar semula mengikut kesesuaian lokasi. Integrasi ini membolehkan air hujan menjadi sebahagian daripada sistem bekalan air yang lebih mampan, fleksibel dan berdaya tahan.
Potensi Air Bawah Tanah
Selaras dengan konsep “simpan”, NAHRIM sedang membangunkan potensi sumber air bawah tanah melalui imbuhan semula akuifer secara terkawal (Managed Aquifer Recharge, MAR) menggunakan air hujan dan sumber air alternatif yang bersesuaian di Lembangan Sungai Langat, Selangor. Melalui pendekatan ini, lebihan air hujan semasa musim basah disimpan di dalam akuifer sebagai rizab air strategik untuk digunakan ketika musim kemarau atau gangguan bekalan air permukaan.
Hasil penyelidikan menunjukkan akuifer di Lembangan Sungai Langat menyimpan lebih 1.8 bilion meter padu air, sekali gus meningkatkan keselamatan bekalan air negara dalam jangka panjang. Kajian perintis MAR turut membuktikan bahawa proses imbuhan buatan berpotensi meningkatkan paras air bawah tanah, mengurangkan kehilangan air melalui sejatan serta memperkukuh daya tahan sumber air terhadap kemarau akibat perubahan iklim.
Bagi memperluas pembangunan sumber air bawah tanah, NAHRIM turut melaksanakan kajian pemetaan akuifer menggunakan teknologi PinPoint 4D di sekitar Empangan Bukit Kuda, Wilayah Persekutuan Labuan. Kajian ini merangkumi penyiasatan geofizik, penilaian kualiti air, pembangunan model interaksi air permukaan–air bawah tanah serta penilaian potensi akuifer sebagai sumber alternatif bekalan air. Hasil kajian ini akan menyediakan input saintifik dan cadangan teknikal kepada kerajaan serta agensi bekalan air pada peringkat Persekutuan dan negeri bagi memperkukuh perancangan sumber air negara dalam menghadapi cabaran El Nino.
Mengoptimumkan Simpanan Air Secara Bersepadu
Bagi strategi jangka panjang, NAHRIM memberi tumpuan kepada pembangunan Simpanan Air Bersepadu (Integrated Water Storage, IWS) bagi mengoptimumkan simpanan air permukaan dan bawah tanah. Pendekatan ini mengintegrasikan pelbagai infrastruktur sedia ada seperti kolam takungan banjir, tasik buatan, sistem penuaian air hujan, takungan pinggiran sungai, akuifer serta sistem imbuhan semula akuifer secara terkawal (Managed Aquifer Recharge, MAR) bagi memaksimumkan kapasiti simpanan air negara.
Kajian IWS Malaysia dijangka menghasilkan kerangka nasional IWS, model digital (digital twin), peta potensi simpanan air permukaan dan bawah tanah, analisis kapasiti simpanan dan imbuhan semula air, penilaian sumber air bukan terawat serta pelan hala tuju IWS. Hasil kajian ini akan menjadi asas kepada perancangan teknikal, penentuan lokasi berpotensi dan pelaksanaan pengurusan simpanan air secara lebih sistematik serta berasaskan data.
Pelaksanaan awal IWS boleh ditumpukan di kawasan yang mempunyai tekanan keselamatan air, risiko banjir berulang, permintaan air yang tinggi serta margin simpanan air yang rendah. Kejayaan IWS bergantung kepada kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi air, agensi saliran, operator bekalan air dan industri.
Mengoptimumkan Infrastruktur Air Sedia Ada
Sebagai aplikasi pendekatan Simpanan Air Bersepadu (IWS), Kolam Takungan Banjir (KTB) Batu sedang dikaji sebagai projek rintis bagi mentransformasikan kolam takungan banjir sedia ada kepada sistem dwifungsi yang bukan sahaja mengurangkan risiko banjir, malah berfungsi sebagai sumber air alternatif.
Projek ini kini berada pada peringkat kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk konsep bagi menilai aspek teknikal, kualiti air, kos, operasi serta keperluan infrastruktur sokongan. Pembinaan projek disasarkan bermula pada tahun 2027, tertakluk kepada hasil kajian dan kelulusan pelaksanaan.
Melalui pendekatan ini, air yang disimpan di KTB Batu berpotensi dirawat dan diguna semula bagi menghasilkan sehingga 10 juta liter sehari (10 MLD), dengan 5 MLD diperuntukkan untuk sektor industri dan 5 MLD bagi kegunaan domestik. Pada masa yang sama, KTB Batu akan terus mengekalkan fungsi asalnya sebagai infrastruktur tebatan banjir, sekali gus mengoptimumkan aset sedia ada melalui penggunaan teknologi pintar dan pemantauan kualiti air.
Sekiranya berjaya, KTB Batu berpotensi menjadi model rujukan bagi menaik taraf kolam takungan banjir lain sebagai infrastruktur pelbagai fungsi yang menyokong jaminan bekalan air, pengurangan risiko banjir serta adaptasi terhadap perubahan iklim negara.
Memanfaatkan Inovasi Infiltrasi Dasar Sungai
Bagi memperluas kepelbagaian sumber air alternatif, NAHRIM turut membangunkan teknologi infiltrasi dasar sungai yang memanfaatkan keadaan geomorfologi sungai semula jadi bagi meningkatkan simpanan air bawah tanah melalui proses infiltrasi semula jadi.
Melalui Projek PETRA–NAHRIM Sistem Infiltrasi Dasar Sungai (PETRAN-SIDS) bersama Jabatan Bekalan Air (JBA), teknologi ini dicadangkan untuk dilaksanakan di Lembangan Sungai Melaka, Pulau Langkawi dan Kedah. Projek ini berpotensi menghasilkan antara 30 hingga 45 MLD melalui proses pengisian semula (recharge) akuifer dan infiltrasi terus dari dasar sungai.
Selain menyokong bekalan air dan tebatan banjir, teknologi ini turut berpotensi menjadi produk ekopelancongan yang mampu meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat. Projek ini dijangka dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Teknologi Penyahgaraman Air Laut
Teknologi penyahgaraman air laut, yang menghasilkan air tawar daripada air laut, menawarkan sumber air alternatif yang tidak bergantung kepada hujan atau takungan permukaan. Teknologi ini menjadi antara strategi penting bagi meningkatkan daya tahan bekalan air negara dalam menghadapi perubahan iklim dan fenomena El Nino. Bagi memperkukuh pembangunan teknologi ini, NAHRIM sedang melaksanakan dua program utama.
Program pertama ialah Kajian Kesesuaian Penyahgaraman Air Laut bagi Kawasan Pulau di bawah RMK13 bagi tempoh 2026 hingga 2028. Pulau Redang dan Pulau Tioman dipilih sebagai lokasi kajian bagi menilai potensi teknologi ini sebagai sumber bekalan air yang lebih berdaya tahan di kawasan yang tidak mempunyai akses kepada sistem bekalan air daratan. Hasil kajian akan menjadi asas kepada pelaksanaan projek rintis berdasarkan keperluan penduduk, industri serta ketersediaan peruntukan.
Program kedua ialah Projek Pembinaan Loji Penyahgaraman Air Laut bagi Membekal Sumber Air Alternatif kepada Pos Keselamatan ESSCOM dan Kawasan Sekitar yang melibatkan Pos Keselamatan Karakit (Pulau Banggi), Pos Keselamatan Pulau Berhala dan Pos Keselamatan Pulau Mabul di Sabah. Projek yang diluluskan di bawah Program Inisiatif Belanjawan 2026 ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 700 pengguna, termasuk anggota keselamatan ESSCOM dan penduduk sekitar, serta disasarkan mula beroperasi seawal Disember 2026.
Membina Daya Tahan Air Negara
Negara perlu memastikan keselamatan sumber air disokong dengan pelbagai alternatif sumber air, memanfaatkan infrastruktur sedia ada, mengoptimum penyimpanan air tadah dan kapasiti simpanan, meneroka teknologi untuk rawatan dan penggunaan air semula secara selamat.
Secara keseluruhannya, PETRA melalui NAHRIM sedang memastikan hasil R&D diterjemahkan kepada penyelesaian kepada isu dan cabaran menghadapi impak fenomena El Nino serta cabaran perubahan iklim. Usaha-usaha ini memerlukan kerjasama erat di antara semua pihak berkepentingan.
Selaras dengan aspirasi Dasar Air Negara dan Pelan Hala Tuju Transformasi Sektor Air Negara (AIR 2040), pengurusan air akan dilaksana secara strategik daripada sumber, tadahan, simpanan, rawatan dan penggunaan untuk menjamin keselamatan air yang mampan, adaptif dan berdaya tahan.
-- BERNAMA