Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
GLASGOW, 31 Julai (Bernama) -- Pelumba berbasikal trek negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menyifatkan penamat di tempat keempat acara pecut wanita pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 sebagai detik pahit manis selepas hanya selangkah lagi untuk menaiki podium, hari ini. (Sabtu di Malaysia).
Nurul Izzah tewas 0-2 kepada pelumba Wales, Rhian Edmunds dalam perebutan pingat gangsa selepas memberikan tentangan sengit sepanjang saingan di Velodrom Sir Chris Hoy, di sini.
“Pertama sekali, memang kecewa kerana saya sudah berada di pertengahan jalan dan hanya selangkah lagi untuk meraih pingat. Keputusan ini memang memberikan impak besar kepada saya.
“Tetapi saya mengambilnya sebagai satu pengajaran dan akan beralih kepada acara seterusnya. Saya juga sudah membuktikan bahawa catatan masa yang perlahan tidak semestinya menghalang kita daripada mara jauh,” kata atlet berusia 22 tahun itu kepada Bernama.
Pada pusingan kelayakan, Nurul Izzah yang membuat penampilan keduanya di Sukan Komanwel selepas Birmingham 2022 mencatat masa 10.706 saat (s) untuk menduduki tempat ke-11 terpantas.
Pelumba Wales, Emma Finucane memperbaharui rekod temasya dengan catatan 10.322s, manakala seorang lagi wakil negara Nur Alyssa Mohd Farid menduduki tempat ke-15 dengan masa 10.882s.
Nurul Izzah kemudian mara ke separuh akhir untuk bertemu pelumba England, Sophie Capewell dan memenangi perlumbaan pertama.
Bagaimanapun, perlumbaan kedua terpaksa dijalankan semula sebelum kemenangan diberikan kepada Capewell selepas Nurul Izzah didapati melakukan ‘track stand’ melebihi had yang dibenarkan sebelum pencabarnya itu menangi perlumbaan penentuan untuk mara ke final.
“Saya dapat membuktikan bahawa saya mampu bersaing dengan pemenang pingat Olimpik dan kemenangan ke atas Sophie dalam perlumbaan pertama menjadi antara detik terbesar buat saya.
“Dalam perlumbaan kedua, ada sedikit kesilapan daripada saya kerana kami tidak boleh melakukan ‘track stand’ lebih daripada dua kali. Itu satu pengajaran dan saya tidak mahu mengulanginya lagi,” katanya.
Nurul Izzah berkata pencapaiannya itu turut memberikan gambaran jelas mengenai aspek yang perlu dipertingkatkan, terutama dari segi catatan masa, kelajuan dan pecutan.
“Ini detik pahit manis kerana semua yang datang ke Sukan Komanwel mahu memenangi pingat. Saya akan terus memperbaiki diri dan kini memberi tumpuan kepada acara seterusnya,” katanya.
Nurul Izzah dijadual beraksi dalam final acara 1,000 meter ujian masa wanita esok sebelum meneruskan cabaran dalam acara keirin pada Ahad.
Sebagai rekod, pada edisi Birmingham 2022, Nurul Izzah menamatkan saingan acara pecut wanita di kedudukan ke-22 keseluruhan sebelum terkandas di pusingan pertama acara keirin.
-- BERNAMA