KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau Papagomo, membela diri atas pertuduhan menghasut, tiga tahun lepas.
Hakim Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang membebaskan Wan Muhammad Azri.
"Mahkamah berpendapat hakim bicara telah terkhilaf dalam melepas dan membebaskan tertuduh tanpa memanggilnya membela diri... oleh itu, rayuan ini dibenarkan dan tertuduh diarahkan membela diri atas pertuduhan yang dikemukakan," katanya.
Dalam penghakimannya, beliau berkata menyentuh mengenai isu laporan polis yang telah ditarik balik, mahkamah memutuskan bahawa ia tidak memberi apa-apa kesan kepada pertuduhan kerana aduan berhubung kenyataan tertuduh yang dikatakan menghasut dibuat terhadap kerajaan, bukannya terhadap mana-mana individu.
"Siasatan dan pendakwaan tidak boleh disekat berikutan penarikan balik laporan polis itu... kenyataan itu dilihat merujuk kepada kerajaan dan perkataan 'kerajaan' diulang sebanyak tiga kali sebagaimana disahkan oleh saksi pendakwaan kelapan, juruanalisis kanan forensik Mohd Izuan Effendy Yusof.
"Oleh itu, mahkamah berpendapat ia memenuhi elemen kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan, iaitu mendatangkan kebencian terhadap kerajaan selain mengambil kira Hansard Parlimen yang menyatakan kerajaan tidak mengiktiraf kewujudan Israel berdasarkan keterangan saksi pendakwaan kelima, Pegawai Tadbir dan Diplomatik Kementerian Luar Datuk Zahairi Baharim," katanya.
Nurulhuda Nur'aini berkata elemen kebencian itu mungkin tidak memberi kesan kepada kerajaan jika datang daripada seorang individu namun berdasarkan fakta kes, hantaran berkenaan telah menerima lebih 50,000 tontonan yang berpotensi menimbulkan kebencian dan memudaratkan.
Beliau kemudian menetapkan 11 Ogos untuk sebutan kes di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali yang telah berpindah ke Mahkamah Sesyen Klang.
Mahkamah membenarkan Wan Muhammad Azri diikat jamin sebanyak RM7,000.
Prosiding hari ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, Deepa Nair Thevaharan dan Nadia Mohd Izhar manakala Wan Muhammad Azri diwakili peguam Rafique Rashid Ali serta Nur Mustanir Md Nor.
Pada 3 Sept tahun lepas, Siti Aminah melepas dan membebaskan Wan Muhammad Azri daripada pertuduhan itu selepas memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap penulis blog tersebut.
Pada 8 Jan 2024, Wan Muhammad Azri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan yang mengaitkan kerajaan sebagai pro-Israel dan pro-Barat menerusi laman Facebook.
Dia didakwa membuat kenyataan itu di laman Facebook Halid Hamidi (Halid Mat Kool) yang kemudian dilihat oleh seorang individu di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang di sini pada 1 tengah hari 8 Nov 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA