Am 31/07/2026 08:42 PM

Glasgow 2026: Kelesuan Jejas Debut Nur Alyssa, Kini Alih Tumpuan Kepada Keirin

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Glasgow 2026: Kelesuan Jejas Debut Nur Alyssa, Kini Alih Tumpuan Kepada Keirin
Aksi atlet berbasikal wanita negara Nur Alyssa Mohd Farid ketika menentang atlet England Sophie Capewell pada pusingan kelayakan acara pecut wanita di temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Sir Chris Hoy Velodrome hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

GLASGOW, 31 Julai (Bernama) -- Pelumba berbasikal trek negara Nur Alyssa Mohd Farid mengakui kelesuan mempengaruhi tahap kecergasannya ketika membuat penampilan sulung dalam acara pecut wanita pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Velodrom Sir Chris Hoy di sini, hari ini.

Nur Alyssa berkata walaupun persiapan dan latihan sebelum pertandingan berjalan lancar, corak tidurnya masih belum kembali normal selepas lima hari berada di Glasgow.

“Sejujurnya, latihan semuanya berjalan dengan baik, cuma mungkin saya masih mengalami jet lag (gangguan ritma harian) walaupun sudah lima hari berada di sini.

“Saya masih kerap terjaga pada pukul 2 atau 3 pagi, jadi badan saya tidak dapat beraksi dalam keadaan terbaik,” katanya kepada Bernama selepas saingan pusingan 1/8 di sini.

Pelumba berusia 20 tahun itu memulakan kempen dengan menduduki tempat ke-15 pada pusingan kelayakan selepas mencatat masa 10.882 saat (s), berbanding rekod peribadi terbaiknya 10.626s.

Catatan itu membolehkannya mara ke pusingan 1/8, namun cabarannya berakhir selepas tewas kepada pelumba England Sophie Capewell yang juga pemenang emas Sukan Olimpik Paris 2024 dalam acara pecut berpasukan wanita.

“Hari ini merupakan hari pertama saya beraksi dan juga penampilan pertama di Sukan Komanwel. Semuanya berjalan dengan baik. Saya bermula dalam pusingan kelayakan dan menduduki tempat ke-15.

“Catatan itu bukan rekod peribadi terbaik saya, tetapi saya sudah melakukan yang terbaik sebelum mara ke pusingan seterusnya. Saya sekali lagi memberikan yang terbaik dan cuba memberi saingan kepada Sophie, namun rezeki belum memihak kepada saya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pengalaman beraksi dalam suasana pertandingan yang meriah di Glasgow tetap memberikan nilai tambah buatnya, khususnya dalam penampilan pertama di temasya itu.

“Suasana di sini sangat berbeza berbanding kejohanan Asia, Piala Dunia atau pertandingan di Malaysia. Penonton memberikan suasana dan sokongan yang sangat baik,” katanya.

Beliau kini akan mengalihkan tumpuan kepada acara keirin pada Ahad ini dengan sasaran awal untuk melepasi setiap pusingan sebelum memikirkan peluang memburu pingat.

Dalam pusingan kelayakan pecut wanita, rakan senegara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menduduki tempat ke-11 terpantas dengan catatan 10.706s, manakala pelumba Wales Emma Finucane memperbaharui rekod temasya menerusi catatan 10.322s. Nurul Izzah masih meneruskan cabaran ketika berita ini ditulis.

-- BERNAMA