Dunia 31/07/2026 11:00 PM

Malaysia Saran Intergrasi ASEAN Lebih Kukuh Untuk Tingkatkan Daya Saing Pembuatan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia Saran Intergrasi ASEAN Lebih Kukuh Untuk Tingkatkan Daya Saing Pembuatan
Vinothan Tulisinathzan. fb Malaysian Investment Development Authority - MIDA

Oleh Anas Abu Hassan

SINGAPURA, 31 Julai (Bernama) -- Malaysia telah menyarankan negara anggota ASEAN supaya memperkukuh integrasi serantau dan bersaing secara kolektif dengan rantau pembuatan global, berbanding bersaing sesama sendiri.

Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Singapura, Vinothan Tulisinathzan berkata anjakan dinamik dalam rantaian bekalan global memberikan peluang kepada blok itu untuk meletakkan dirinya sebagai pemimpin baharu bagi rantau pembuatan global.

“Daripada setiap negara cuba melakukan segala-galanya, ASEAN harus memanfaatkan kekuatan daya saing masing-masing.

“Syarikat-syarikat kini mahukan daya tahan, kepelbagaian, dan pelbagai sumber bekalan; dan itu secara semula jadi memihak kepada ASEAN,” katanya semasa sesi perbualan santai bertajuk “Membina Daya Saing Perindustrian: Memacu Fasa Pertumbuhan Malaysia Seterusnya Malaysia” yang diadakan sempena Persidangan ASEAN ke-10 pada Jumaat.

Acara dua hari bermula Khamis itu, bertemakan “ASEAN's Future in a Fractured World” dianjurkan oleh Singapore Business Federation (SBF).

Vinothan menekankan bahawa Malaysia telah memainkan peranannya untuk menjadi salah satu hab utama dalam rantaian nilai serantau.

Untuk terus meningkatkan perdagangan intra-ASEAN, beliau menggesa negara anggotanya supaya memberi tumpuan kepada usaha memudahkan perniagaan beroperasi merentas sempadan.

“Fasa ASEAN seterusnya bukan mengenai mengurangkan tarif; ia adalah mengenai mengurangkan kekangan. Malaysia menerajui usaha itu dengan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapore (JS-SEZ),” katanya.

Sementara itu, Vinothan berkata Malaysia kini mahu meningkatkan kualiti pelaburan yang masuk ke negara, memandangkan paradigma pelaburannya telah berubah ke arah penciptaan nilai.

Beliau berkata Malaysia menawarkan ekosistem perindustrian bersepadu, membolehkan pelabur berinovasi, mengeluarkan produk dan meningkatkan operasi mereka dan menjalankan operasi bukan sahaja pasaran serantau tetapi juga pasaran global melalui rangkaian pembuatan negara yang kukuh.

Menurutnya, ekosistem bersepadu itu adalah salah satu kelebihan daya saing terbesar Malaysia dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi.

“Malaysia menawarkan pelaburan dengan ekosistem bersepadu, di mana pembuatan maju, infrastruktur digital, kelestarian, dan bakat turut bergabung untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang,” katanya.

-- BERNAMA