GEORGE TOWN, 31 Julai (Bernama) -- Malaysia memperkukuh diplomasi belia dan kerjasama serantau dengan memperkasakan golongan muda sebagai penyumbang aktif kepada pembangunan mampan serta kerjasama rentas sempadan, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Anak Bimol.
Beliau berkata program pertukaran belia antara Malaysia dan Singapura tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai lawatan kebudayaan, sebaliknya sebagai platform pembangunan kepimpinan yang mempersiapkan golongan muda untuk menangani cabaran serantau selain memperkukuh hubungan dua hala.
"Inisiatif ini mencerminkan komitmen Kementerian Belia dan Sukan dalam memperluas pengantarabangsaan belia selaras dengan Model Pembangunan Belia MADANI 2030.
“Pertukaran ini bukan sekadar lawatan biasa, sebaliknya ia kerangka pembangunan kepimpinan yang direka untuk membentuk dan memperkasakan generasi peneraju perubahan serantau. Anda di sini bukan sekadar untuk memerhati, tetapi menjadi pemimpin berwibawa di rantau ini,” katanya ketika berucap menutup Program Pertukaran Pemimpin Muda Malaysia-Singapura (MSYLEP), di sini malam ini.
Program selama tujuh hari bertemakan “Kesedaran Alam Sekitar dan Pertukaran Budaya” itu menghimpunkan belia dari Malaysia dan Singapura untuk menyertai dialog, lawatan tapak serta perbincangan kolaboratif yang memfokuskan kemampanan alam sekitar dan warisan budaya di kedua-dua negara.
Mordi berkata Malaysia dan Singapura telah sekian lama menikmati hubungan dua hala yang kukuh, manakala hubungan di peringkat rakyat, khususnya dalam kalangan golongan muda, terus menjadi asas kepada perkongsian erat yang berkekalan antara kedua-dua negara.
Beliau berharap persahabatan yang terjalin sepanjang program itu akan berkembang menjadi kerjasama dan inovasi pada masa hadapan yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara serta rantau ASEAN secara keseluruhannya.
Mordi berkata pengantarabangsaan belia kekal antara agenda utama kementerian yang dilaksanakan menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) berlandaskan dua teras strategik, iaitu memperkasakan diplomasi belia global serta memperkukuh pakatan strategik serantau.
“Inisiatif ini bertujuan memberikan golongan belia Malaysia pendedahan yang lebih luas di platform antarabangsa, di samping memastikan suara belia ASEAN diwakili dalam perbincangan mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan penggubalan dasar di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata gabungan unik biodiversiti dan warisan berabad-abad lamanya di Pulau Pinang menyediakan suasana yang ideal untuk para peserta menghayati hubungan rapat antara pemuliharaan alam sekitar dengan pemeliharaan warisan budaya.
“Melindungi bumi dan memelihara warisan kita bukanlah tanggungjawab yang terpisah, sebaliknya merupakan komitmen merentas sempadan dan merentas generasi. Menerusi dialog serta percambahan idea, anda telah membuktikan bahawa golongan belia bukan lagi sekadar pemimpin masa depan, malah sedang membentuk landskap kemampanan pada masa ini secara aktif,” katanya.
-- BERNAMA