KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh WCT Holdings Bhd, iaitu WCT Land Sdn Bhd (WCTL) mengambil alih baki 30 peratus kepentingan ekuiti dalam Jelas Puri Sdn Bhd (Jelas Puri) daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan harga RM140 juta.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, WCT berkata pengambilalihan 93 juta saham biasa KWSP dalam Jelas Puri akan meningkatkan pegangan WCTL dalam syarikat itu daripada 70 peratus kepada 100 peratus, sekali gus menjadikannya unit milik penuh tidak langsung.
Jelasnya, pertimbangan pembelian itu akan dibiayai sepenuhnya menerusi dana dalaman syarikat.
Sementara itu, Jelas Puri adalah pemaju pembangunan komersial bersepadu yang dikenali sebagai Paradigm Petaling Jaya, yang terletak di Kelana Jaya, Petaling Jaya dan terdiri daripada The Ascent Office Tower, Le Meridien Petaling Jaya Hotel, Paradigm Mall Petaling Jaya, The Azure Residences dan Sapphire Paradigm.
Menurut WCT, pemilikan sepenuhnya oleh Jelas Puri akan memberikan kumpulan itu lebih fleksibiliti dalam menguruskan hal ehwal syarikat, selain mengorak langkah pada masa hadapan, termasuk penstrukturan semula atau rasionalisasi, tanpa memerlukan kelulusan daripada rakan usaha sama.
“Jelas Puri memiliki Hotel Le Meridien Petaling Jaya dan 230 juta unit dalam Paradigm Real Estate Investment Trust.
“Lembaga Pengarah percaya bahawa aset dan pelaburan sedia ada Jelas Puri menyediakan asas yang munasabah bagi prospek pendapatan masa depannya,” tambahnya.
Katanya, tertakluk kepada keadaan yang tidak dijangka, pengambilalihan itu dijangka selesai menjelang awal Ogos 2026.
-- BERNAMA