MELAKA, 31 Julai (Bernama) -- Malaysian Amateur Radio Transmitters' Society (MARTS) mewakili Malaysia ke Mesyuarat Ketiga Kumpulan Persediaan Persidangan APT bagi WRC-27 (APG27-3) di Sapporo, Jepun bermula Isnin lepas dan berakhir hari ini.
MARTS, dalam kenyataan memaklumkan persidangan dianjurkan oleh Komuniti Telekomunikasi Asia-Pasifik (APT) itu menghimpunkan badan kawal selia telekomunikasi, pakar industri dan organisasi antarabangsa bagi merangka pendirian bersama rantau Asia-Pasifik menjelang Persidangan Komunikasi Radio Sedunia 2027 (WRC-27) Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).
MARTS turut menyertai persidangan itu di bawah delegasi Malaysia, diwakili oleh Presidennya Mohd Aris Bernawi dan Setiausaha Sion Chow.
“Penyertaan MARTS adalah bagi menyokong pendirian serta peranan Kesatuan Radio Amatur Antarabangsa (IARU) dalam mempertahankan spektrum radio amatur,” menurut kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, Mohd Aris berkata kehadiran MARTS ke persidangan berkenaan bagi memastikan kepentingan perkhidmatan amatur dan perkhidmatan amatur-satelit terus terpelihara serta kekal bebas daripada gangguan perkhidmatan lain.
Beliau berkata delegasi turut menganggotai Kumpulan Kerja dan Kumpulan Penggubalan bagi cadangan berkaitan agenda WRC-27 yang akan berlangsung kelak.
"Radio amatur bukan sekadar hobi. Ia memainkan peranan penting dalam komunikasi kecemasan, inovasi teknikal, pendidikan sains dan kejuruteraan serta hubungan antarabangsa.
“Justeru, spektrum frekuensi yang diperuntukkan untuk perkhidmatan ini perlu terus dilindungi demi generasi masa kini dan akan datang," katanya.
IARU sebagai badan induk radio amatur di peringkat antarabangsa sentiasa komited mempertahankan peruntukan spektrum melalui penyertaan aktif dalam persidangan serantau dan antarabangsa seperti APG dan WRC.
APG27-3 merupakan mesyuarat ketiga dalam siri persediaan serantau menjelang WRC-27 yang dijadualkan berlangsung tahun depan di bawah kelolaan ITU.
Di pihak kerajaan, mesyuarat itu diwakili oleh Kementerian Komunikasi serta agensi kawal selia telekomunikasi negara iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta pihak berkepentingan melibatkan wakil syarikat telekomunikasi serta penyedia perkhidmatan digital.
-- BERNAMA