Am 31/07/2026 09:30 PM

AFC Gesa FIFA Semak Segera Tadbir Urus, Kerangka Pembuatan Keputusan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
AFC Gesa FIFA Semak Segera Tadbir Urus, Kerangka Pembuatan Keputusan

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menggesa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) agar segera menyemak semula tadbir urus dan kerangka dalam pembuatan keputusannya susulan kebimbangan yang tercetus berhubung cadangan penubuhan FIFA Forward Enterprise (FFE).

Dalam satu kenyataan hari ini, AFC memaklumkan isu berkenaan bukan mengenai satu cadangan semata-mata, sebaliknya mendedahkan kelemahan asas dalam proses perundingan dan pembuatan keputusan FIFA.

“Sehubungan ini, AFC menggesa FIFA supaya menyemak segera tadbir urus dan kerangka dalam pembuatan keputusannya bagi memastikan cadangan berkenaan yang mempunyai kepentingan global, dibangunkan berdasarkan proses perundingan yang sewajarnya, penglibatan serta pemantauan sepatutnya oleh badan-badan berkanun FIFA,” menurut kenyataan itu.

Selasa lepas, FIFA mengumumkan cadangan penubuhan FFE bagi menguruskan kejohanan utama seperti Piala Dunia FIFA dan Piala Dunia Kelab FIFA.

Di bawah perancangan itu, pelabur swasta akan dibenarkan memiliki pegangan minoriti dalam syarikat komersial berkenaan, dengan FIFA menyasarkan hasil hingga USD 4.2 billion (kira-kira RM19.4 bilion) berasaskan penilaian syarikat sebanyak USD 20 bilion (RM92.4 bilion).

Sekiranya cadangan itu diluluskan, setiap daripada 211 ahli gabungan FIFA  akan menerima bayaran sekali sebanyak USD 20 juta (RM92.4 juta) pada awal 2027, manakala dana pembangunan bagi kitaran 2027 hingga 2030 akan ditingkatkan daripada USD 8 juta kepada USD 20 juta.

Menurut AFC walaupun setiap Persatuan Anggota (MA) FIFA diberi peluang untuk mempertimbangkan dan membuat keputusan terhadap cadangan yang memberi kesan kepada masa depan bola sepak dunia itu, amalan demokrasi yang bermakna tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan peluang untuk mengundi.

AFC juga memaklumkan cadangan yang begitu signifikan dan berpotensi mempengaruhi masa depan komersial, sukan serta hala tuju strategik bola sepak dunia tidak seharusnya dikemukakan menerusi proses yang menyebabkan konfederasi, MA ,malah badan pentadbir FIFA sendiri, termasuk Majlis FIFA berasa diketepikan.

Menurut konfederasi itu, matlamat utama bola sepak dunia ialah memastikan setiap keputusan sebesar itu dibangunkan melalui proses yang berteraskan ketelusan serta mendapat keyakinan komuniti bola sepak.

Sementara itu, AFC turut menyatakan solidariti dengan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dan Konfederasi Bolasepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF) dalam menyuarakan kebimbangan serius terhadap isu berkenaan.

Semalam, 55 ahli gabungan UEFA menyatakan pendirian tidak akan terlibat dalam pertandingan anjuran FIFA termasuk Piala Dunia dan sebulat suara menolak cadangan badan induk bola sepak dunia itu.

Sehubungan itu, menurut AFC hakikat bahawa kemungkinan pemulauan Piala Dunia kini dibincangkan secara terbuka seharusnya menjadi kebimbangan semua pihak yang mengambil berat tentang masa depan bola sepak, kerana sukan itu tidak sepatutnya berada dalam situasi sedemikian.

Sementara itu, CONCACAF dan 41 ahli gabungannya turut menolak cadangan FIFA pada mesyuarat yang diadakan semalam.

-- BERNAMA