Am 31/07/2026 10:01 PM

Terbuka Taiwan 2026:  Pearly-Thinaah, Aaron-Aaron Mara Ke Separuh Akhir

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Terbuka Taiwan 2026:  Pearly-Thinaah, Aaron-Aaron Mara Ke Separuh Akhir
Pearly Tan (kanan) dan M. Thinaah (kiri)

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Beregu wanita dan lelaki negara, Pearly Tan-M.Thianah dan Aaron Chia-Aaron Tai menempah slot separuh akhir Terbuka Taiwan 2026 selepas menewaskan lawan masing-masing dalam aksi suku akhir, hari ini. 

Pilihan utama, Pearly-Thinaah mara ke pusingan seterusnya dengan mengalahkan pasangan tuan rumah Lin Chih-Chun-Yang Chu Yun, 21-14, 21-17, dalam tempoh hanya 35 minit yang merupakan pertemuan pertama mereka.  

Di separuh akhir, mereka bakal berdepan wakil Amerika Syarikat, Francesca Corbett-Jennie Gai iaitu pertemuan ketiga bagi kedua-dua pasangan itu, dengan Pearly-Thinaah menang dua pertemuan terakhir. 

Sementara itu, dalam kategori beregu lelaki, pilihan kelima Aaron Chia-Aaron Tai menyingkirkan pilihan kedua Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan dari Taiwan dalam tempoh 44 minit. 

Walaupun tewas di set pertama 15-21, pasangan Malaysia itu mempamerkan semangat juang tinggi untuk mendominasi set kedua dengan kemenangan 21-7 sebelum mengesahkan kemenangan 21-18 pada set penentuan dan dijadualkan bertemu satu lagi pasangan Taiwan, Chen Cheng Kuan-Liu Kuang Heng bagi merebut tempat ke final.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi beregu wanita nombor 67 dunia, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan, apabila tewas kepada pasangan Thailand, Hathaithip Mijad-Napapakorn Tungkasatan, 21-11, 20-22, 22-24, dalam aksi sengit yang berlarutan selama 65 minit. 

Bagi acara perseorangan lelaki pula, pemain negara Justin Hoh turut mengakhiri kempen beliau selepas tewas kepada pemain Korea Selatan, Yoo Tae Bin, 17-21, 18-21.

-- BERNAMA