LONDON, 31 Julai (Bernama-PA Media/dpa) -- Rancangan kontroversi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menjual pegangan saham dalam syarikat Piala Dunia menerima tamparan hebat selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menyertai UEFA dan CONCACAF menolak cadangan berkenaan, lapor PA Media/dpa.
Masa depan Gianni Infantino sebagai Presiden FIFA kini turut dilihat samar, dengan kenyataan AFC turut menekankan "kelemahan ketara dalam proses rundingan dan pembuat keputusan FIFA yang mesti ditangani."
Press Association difahamkan 41 negara ahli CONCACAF, iaitu konfederasi bagi Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean, kini kian hilang – atau telah hilang – kepercayaan terhadap Infantino, manakala UEFA menegaskan akan memboikot kejohanan anjuran FIFA sehinggalah rancangan itu digugurkan.
Pemimpin berasal dari Switzerland itu sebelum ini menyatakan rancangan menubuhkan syarikat baharu bagi mengendalikan Piala Dunia dan kejohanan FIFA yang lain memerlukan sokongan majoriti daripada 211 persatuan ahli FIFA.
Penentangan bersama daripada 47 ahli AFC, disusuli 41 ahli CONCACAF – yang mana 35 daripadanya ialah ahli FIFA – serta 55 ahli UEFA, bermakna seramai 137 ahli kini menentang cadangan itu.
FIFA mencadangkan penubuhan FIFA Forward Enterprise (FFE) dan menjual 20 peratus pegangan saham dalamnya kepada pelabur swasta – dengan syarikat Thrive Eternal milik Joshua Kushner disenaraikan sebagai peneraju kumpulan pelabur berkenaan.
Joshua ialah adik kepada Jared Kushner, iaitu menantu kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Kenyataan AFC, seperti yang ditegaskan UEFA sebelum ini, turut mengetengahkan hakikat bahawa persatuan-persatuan itu tidak menyedari rancangan berkenaan sehinggalah laporan media timbul pada Selasa.
“AFC berdiri teguh bersama UEFA dan CONCACAF dalam menyatakan kebimbangan serius terhadap cadangan FIFA untuk membawa masuk pelaburan swasta dalam kejohanan utama FIFA serta proses membuat keputusan melibat FFE,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa