KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) memperkenalkan dua program baharu di bawah Dana Kebolehpasaran iaitu program Inkubator Lestari Muzik (ILMU) dan Muzik Mikro bagi memberi sokongan kewangan kepada bakat baharu serta penggiat seni tempatan.
Inisiatif menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) Industri Muzik 2026 itu memanfaatkan peruntukan RM2.5 juta yang diterima MyCreative pada awal tahun ini bagi menyokong pelbagai segmen pembangunan industri kreatif negara.
Penolong Naib Presiden Pembangunan Industri MyCreative Ventures Muhammad Nadzmi Musa berkata ILMU diwujudkan bagi membimbing dan mengetengahkan penggiat seni tempatan yang berbakat besar tetapi menghadapi kekangan untuk menonjolkan karya mereka.
Beliau berkata ia dirangka khusus bagi meneroka potensi bakat baharu yang tidak bergantung kepada populariti media sosial serta memerlukan sokongan pembiayaan untuk berkembang.
"Sebelum ini kita memang banyak buat pertandingan mencari bakat dan kali ini kita wujudkan dana ini untuk meneroka mereka yang betul-betul berbakat," katanya ketika menjadi tetamu pada program "Fokus 30: Dana Kandungan Kreatif Industri Muzik" terbitan Bernama Radio hari ini.
Muhammad Nadzmi berkata program Muzik Mikro pula diperkenalkan bagi memenuhi permintaan artis tempatan yang kini lebih berminat menerbitkan lagu secara “single” dan muzik video berbanding album penuh.
Mengulas mengenai pencapaian DKK sejak diuruskan MyCreative pada 2022, beliau berkata sebanyak RM45 juta telah diperuntukkan kerajaan dan disalurkan kepada 259 penerima dana di seluruh negara serta berjaya menjana 11,400 peluang pekerjaan.
"Sokongan kita berasaskan merit, tak mengira sama ada seseorang itu terkenal atau tidak. Kita tiada diskriminasi dengan membantu muzik akar umbi dan kita tengok potensi yang ada, semua berhak memohon," katanya.
Di samping DKK, MyCreative turut menawarkan Skim Dana Padanan (SDP) melibatkan peruntukan RM2.5 juta dan terbuka kepada 10 tonggak industri kreatif seperti seni persembahan, kulinari serta seni visual, selain insentif Insentif Konsert dan Acara di Malaysia (CEMI) yang menggalakkan penganjuran konsert tempatan dan antarabangsa.
"Sebagai contoh, bagi insentif CEMI tahun lepas kita telah mencatatkan limpahan ekonomi sebanyak RM39.48 juta hanya menerusi penghasilan lapan konsert. Kita berharap sokongan berterusan ini dapat melonjakkan lagi sumbangan industri kreatif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara," katanya.
Permohonan bagi DKK Industri Muzik 2026 boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman sesawang rasmi MyCreative di www.mycreative.com.my/grants mengikut tarikh tutup kategori masing-masing.
-- BERNAMA