Am 31/07/2026 08:21 PM

30 Inisiatif, 10 Projek Baharu Perkasa Pelancongan Bumiputera Pulau Pinang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
30 Inisiatif, 10 Projek Baharu Perkasa Pelancongan Bumiputera Pulau Pinang
Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) Tan Sri Khalid Ramli

BUKIT MERTAJAM, 31 Julai (Bernama) -- Sebanyak 30 inisiatif dan 10 projek baharu bagi pembangunan produk pelancongan dirancang untuk memperkukuh penyertaan Bumiputera dalam sektor pelancongan menerusi Pelan Induk Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang 2026-2035.

Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) Tan Sri Khalid Ramli berkata pelaksanaan pelbagai inisiatif itu memfokus kepada pembangunan kapasiti pemain industri, pengukuhan produk pelancongan dan peningkatan daya saing usahawan Bumiputera dalam sektor berkenaan.

"Antara usaha yang dilaksanakan ialah program pembangunan pemandu pelancong Bumiputera dan pengusaha inap desa sebagai sebahagian daripada agenda memperkasakan industri pelancongan negeri.

"Kita juga akan membangunkan 10 projek baharu termasuk ekopelancongan bagi memperkukuh produk pelancongan yang menjadi tarikan utama," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Modul Homestaypreneur dan Video Promosi Pelancongan Mesra Muslim Pulau Pinang di Universiti Teknologi MARA sini hari ini.

Pada majlis itu, yang turut dihadiri Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Pulau Pinang Dr Annuar Mohamed, seramai 21 peserta menerima Lesen Pemandu Pelancong Bandar selepas mengikuti kursus selama enam bulan di Sentral College Pulau Pinang.

Khalid juga berkata keseluruhan perancangan melibatkan 40 komponen merangkumi program pembangunan, latihan dan projek fizikal baharu di bawah pelan induk berkenaan termasuk inisiatif sebanyak RM200,000 bagi membantu peserta mendapatkan latihan dan lesen sebagai pemandu pelancong.

Beliau berkata MPBPP memperuntukkan kira-kira RM8,000 bagi setiap peserta mengikuti latihan sebagai pelaburan kerajaan dalam melahirkan pemandu pelancong yang berkualiti, dan berharap penerima memanfaatkan peluang itu dengan bersungguh-sungguh serta tidak menjadikan lesen tersebut sekadar sijil simpanan atau pekerjaan sambilan.

Annuar pula berkata program itu adalah usaha strategik bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam profesion pemandu pelancong yang memerlukan lesen serta latihan khusus yang diiktiraf MOTAC.

Beliau berkata ketika ini, terdapat 1,008 pemandu pelancong yang berdaftar dengan MOTAC di Pulau Pinang, dengan lebih 900 daripada mereka adalah pemandu pelancong bandar manakala selebihnya dalam kategori alam semula jadi.

"MOTAC sentiasa menggalakkan lebih ramai individu menyertai bidang ini namun kos mengikuti latihan dan mendapatkan lesen menjadi antara cabaran yang perlu diberi perhatian... kerjasama seperti ini memberi peluang kepada lebih ramai Bumiputera untuk mendapatkan latihan serta platform bagi membina kerjaya dalam industri pelancongan," katanya.

Seorang peserta, Mohd Faiz Mohd Rafeek, 39, pula berkata program itu bukan sahaja membuka peluang kerjaya baharu malah memberi suntikan semangat kepada mereka untuk memperkukuh pengetahuan mengenai warisan, budaya dan sejarah tempatan bagi memenuhi keperluan industri pelancongan.

Mohd Faiz berkata pengiktirafan sebagai pemandu pelancong berlesen di bawah MOTAC menjadi titik permulaan untuk dia mendalami industri pelancongan secara lebih profesional.

"Sebagai pemandu pelancong, kita bukan sekadar membawa pelancong ke sesuatu destinasi tetapi turut menceritakan identiti dan keunikan sesuatu tempat," katanya yang juga fasih Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab selain sedang mengikuti kursus Bahasa Sepanyol.

Bagi Muhamad Azlan Abdul Aziz, 37, lesen pemandu pelancong bandar melengkapkan kepakarannya yang sebelum ini berkhidmat dalam kategori alam semula jadi dan memiliki kelayakan sebagai kapten bot pelancong.

Muhamad Azlan berkata latihan yang diterima memperluas pengetahuan mengenai sejarah, warisan, sektor perhotelan dan produk pelancongan bandar sekali gus membolehkannya menawarkan pengalaman yang lebih menyeluruh kepada pelancong.

"Saya sebelum ini lebih fokus kepada aktiviti alam semula jadi seperti Taman Negara Pulau Pinang, aktiviti mendaki, berkhemah, pelayaran untuk melihat matahari terbenam dan pelepasan anak penyu," katanya yang kini belajar Bahasa Arab bagi meningkatkan keupayaan berkomunikasi dengan pelancong dari Asia Barat.

-- BERNAMA