PUTRAJAYA, 31 Julai (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menafikan sekeras-kerasnya penglibatan jabatan itu dalam sebarang dokumen pesanan kerajaan fizikal atau arahan pembekalan mencurigakan yang dikeluarkan di luar sistem rasminya.
Jabatan itu dalam satu kenyataan memaklumkan memandang serius aduan berhubung cubaan penipuan yang menyalahgunakan nama dan jawatan pegawai DVS serta dokumen pesanan kerajaan palsu bagi memperdaya syarikat pembekal menyediakan bekalan dan perkhidmatan kononnya untuk program jabatan.
“Tindakan tidak bertanggungjawab itu merupakan satu jenayah berat yang jelas berniat jahat bagi mencemarkan imej dan kewibawaan jabatan serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM),” maklum kenyataan itu.
Justeru, DVS menasihati pihak pembekal untuk memastikan semua urusan perolehan rasmi berkaitan dengan DVS dilaksanakan menerusi Sistem e-Perolehan dan sentiasa berwaspada dengan tawaran yang dibuat di luar sistem tersebut.
"Pembekal juga diminta berwaspada terhadap arahan yang diterima melalui panggilan telefon, WhatsApp, e-mel tidak rasmi atau dokumen yang tidak dapat disahkan," menurut jabatan itu.
DVS juga meminta pihak pembekal agar berhubung secara terus dengan Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar, Putrajaya di talian 03-8870 2000 atau melalui e-mel pro@dvs.gov.my, sekiranya terdapat sebarang keraguan berhubung dokumen perolehan yang diterima.
Menurut kenyataan itu lagi, DVS mengalu-alukan kerjasama semua pihak untuk menyebarluaskan peringatan tersebut bagi meningkatkan kesedaran orang ramai, melindungi kepentingan pembekal serta membendung penyalahgunaan nama dan identiti jabatan.
-- BERNAMA