Am 31/07/2026 06:17 PM

Pasaran Getah Ditutup Bercampur-campur, Disokong Data Global

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pasaran Getah Ditutup Bercampur-campur, Disokong Data Global

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Jumaat, disokong oleh data ekonomi global yang positif, kata seorang peniaga.

Beliau berkata ekonomi Zon Euro berkembang sebanyak 0.4 peratus pada suku kedua 2026, mengatasi jangkaan pasaran sebanyak 0.2 peratus, sekali gus mencerminkan aktiviti ekonomi yang lebih kukuh daripada jangkaan.

Menurutnya, pertumbuhan berterusan jualan global kenderaan elektrik (EV) turut meningkatkan sentimen pasaran.

“Jualan EV global meningkat empat peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2026, meskipun jualan keseluruhan kenderaan merosot kira-kira lima peratus, sekali gus menyokong permintaan jangka panjang daripada industri tayar,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata keadaan pasaran buruh Amerika Syarikat (AS) yang kekal kukuh turut menyokong prestasi pasaran getah.

“Pasaran buruh AS kekal berdaya tahan dengan tuntutan awal faedah pengangguran mingguan berjumlah 197,000, mencerminkan keadaan ekonomi yang stabil,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kenaikan pasaran dihadkan oleh penurunan harga minyak mentah.

“Harga minyak susut apabila pergerakan kapal tangki melalui Selat Hormuz bertambah lancar, sekali gus meredakan kebimbangan terhadap gangguan bekalan walaupun ketegangan antara AS dan Iran masih berterusan,” katanya.

Beliau berkata kelemahan pasaran niaga hadapan getah serantau turut menekan harga.

Pada  3 petang, harga Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) meningkat 13.50 sen kepada 892 sen sekilogram, manakala harga susu getah pukal susut satu sen kepada 695.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA