Am 31/07/2026 06:14 PM

Fahmi Santuni Bekas Penolong Pegawai Perubatan Terlantar Akibat Strok

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Fahmi Santuni Bekas Penolong Pegawai Perubatan Terlantar Akibat Strok
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menyantuni keluarga bekas penolong pegawai perubatan, Mohd Lazin Daud, yang menghidap strok sejak empat tahun lalu, di Taman Bukit Intan, Kuala Pilah hari ini.

KUALA PILAH, 31 Julai (Bernama) -- Keadaan seorang bekas penolong pegawai perubatan yang mengalami strok sejak empat tahun lalu mendapat perhatian Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, yang menziarahi beliau di kediamannya di Taman Bukit Intan, di sini, hari ini.

Mohd Lazin Daud, 54, yang terlantar akibat pendarahan otak susulan komplikasi tekanan darah tinggi, kini bergantung kepada isterinya, Zainabariah Mohamed, 48, yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah.

Zainabariah berkata akibat komplikasi dialami, suaminya tidak lagi mampu menguruskan diri selain perlu diberi susu melalui tiub khas setiap tiga jam dan hanya akan memberi respons melalui pergerakan tangan dan kerdipan mata.

Beliau berkata ketika bertugas di hospital, tanggungjawab menjaga Mohd Lazin dipikul oleh anak kedua mereka bagi memastikan jadual pemberian susu dan penjagaan harian suaminya tidak terjejas.

“Perbelanjaan untuk susu sahaja melebihi RM1,000 sebulan tapi Alhamdulillah, saya boleh membuat tuntutan semula pembelian susu dan barangan keperluan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana kami sama-sama penjawat awam. Itu sahaja yang sedikit sebanyak membantu,” katanya kepada Bernama selepas menerima kunjungan Fahmi.

Beliau berkata Mohd Lazin yang telah bersara turut menjalani rawatan susulan di hospital sekali setiap enam bulan.

Zainabariah berkata kunjungan Fahmi hari ini amat bermakna buat keluarganya kerana tidak menyangka akan diziarahi seorang menteri.

“Saya sangat terharu kerana tidak sangka seorang menteri sudi datang ke rumah kami. Rasa bangga dan bersyukur kerana beliau meluangkan masa untuk menziarahi kami.

“Beliau juga berpesan supaya kami memaklumkan kepada pegawainya sekiranya memerlukan sebarang bantuan, sama ada untuk suami, saya atau anak-anak. Menteri turut menasihati anak-anak supaya belajar bersungguh-sungguh dan menjaga diri,” kata ibu kepada empat cahaya mata itu. 

-- BERNAMA