SHAH ALAM, 31 Julai (Bernama) -- Tempoh perkhidmatan percuma bagi kemudahan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam dilanjutkan sehingga 14 Ogos ini.
Rapid KL menerusi kenyataan di laman Facebook memaklumkan tempoh lanjutan itu antaranya bagi memberi peluang kepada lebih ramai pengguna membiasakan diri dengan sistem pengangkutan awam baharu itu yang menghubungkan Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang.
“Sepanjang tempoh lanjutan itu, orang ramai boleh menikmati perjalanan secara percuma menggunakan perkhidmatan LRT3 Laluan Shah Alam, termasuk bas perantara serta kemudahan Park N’ Ride di stesen-stesen yang terlibat.
“Ia sekali gus menggalakkan penggunaan pengangkutan awam sebagai pilihan utama perjalanan harian,” menurut kenyataan itu.
Rapid KL mengharapkan lanjutan perkhidmatan percuma itu dapat memberi manfaat kepada lebih ramai pengguna dan mengurangkan kos perjalanan harian, di samping meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kecekapan serta keselesaan sistem pengangkutan awam negara.
“Orang ramai disaran memanfaatkan peluang ini dengan merancang perjalanan terlebih dahulu serta mematuhı segala peraturan dan garıs panduan yang ditetapkan demi memastikan perjalanan yang selamat dan lancar,” menurut kenyataan itu.
Pada 28 Jun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Pelancaran LRT3 Laluan Shah Alam di Depoh LRT Johan Setia di Klang, mengumumkan tambang percuma bagi perkhidmatan laluan itu kepada semua penumpang bermula 29 Jun hingga 31 Julai.
-- BERNAMA