KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- CUCKOO International (MAL) Berhad (CUCKOO) mempelawa anak muda berusia 15 hingga 30 tahun menyertai projek pembangunan bakat kreatif, CUCKOO Dream Fund yang memperuntukkan geran keseluruhan berjumlah RM100,000.
CUCKOO memaklumkan permohonan dana bagi program bertemakan "Merealisasikan Impian, Memacu Masa Hadapan" itu dibuka hingga 30 Sept depan.
Menurut kenyataan itu, dana berkenaan memberi dorongan kepada bakat kreatif baharu dengan menyediakan geran projek yang dipadankan bersama bimbingan industri eksklusif daripada Sahabat CSR CUCKOO dan mentor Dream Fund Firdhaus Farmizi.
CUCKOO Dream Fund merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) #SAMASAMAEmpower di bawah pelan induk Projek CUCKOO Loves, Cares yang bukan sahaja menyediakan bantuan kewangan, malah menjadi platform pemerkasaan sosial bagi menggalakkan bakat kreatif muda menyantuni keperluan komuniti, meningkatkan kesedaran terhadap isu sosial serta memupuk nilai positif menerusi karya kreatif.
CUCKOO berkata dana keseluruhan RM100,000 itu akan diagihkan menerusi dua kitaran permohonan dengan setiap kitaran melibatkan peruntukan RM50,000, manakala bagi kitaran pertama, setiap projek yang berjaya boleh menerima pembiayaan hingga RM10,000.
Peruntukan itu merangkumi geran kreatif hingga RM5,000 bagi menyokong penghasilan karya seni asli dan pelaksanaan projek, serta geran penyelarasan impak sosial hingga RM5,000 untuk projek mempunyai agenda sosial, jangkauan komuniti atau impak sosial yang jelas.
Dana berkenaan terbuka kepada pelajar, graduan baharu dan pencipta kandungan bebas yang mengemukakan cadangan projek dalam lima domain iaitu kandungan digital dan penceritaan, muzik dan seni bunyi, reka bentuk dan seni visual, seni persembahan dan gerakan serta bengkel kreatif yang memberi manfaat kepada komuniti.
CUCKOO turut melantik penyanyi dan pencipta lagu tiga bahasa, Firdhaus Farmizi sebagai Sahabat CSR CUCKOO dan mentor Dream Fund bagi membantu proses pemilihan calon serta membimbing penerima geran melaksanakan projek mereka ke arah menghasilkan karya berkualiti dan bermakna.
Setiap peserta perlu mengemukakan video pembentangan berdurasi dua minit bersama kertas cadangan projek yang memperincikan idea kreatif serta impak sosial menerusi laman sesawang rasmi CUCKOO Dream Fund (www.cuckoo.com.my/CUCKOODreamFund) sebelum tarikh tutup permohonan pada 30 Sept.
-- BERNAMA