Am 31/07/2026 07:23 PM

Prestasi Kukuh PKS 2025 Menunjukkan Ketahanan Dalam Ketidaktentuan Global - SAMENTA

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Prestasi Kukuh PKS 2025 Menunjukkan Ketahanan Dalam Ketidaktentuan Global - SAMENTA
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) Datuk William NgĀ 

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Prestasi positif perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia pada 2025 menunjukkan daya tahan dan ketangkasan perniagaan yang luar biasa walaupun terdapat gangguan berterusan rantaian bekalan global serta perubahan dalam dinamik perdagangan.

Presiden Kebangsaan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) Datuk William Ng berkata PKS tempatan terus melabur, berinovasi dan meluaskan jangkauan mereka ke pasaran serantau termasuk antarabangsa, dan hasilnya, eksport PKS melonjak 10.5 peratus kepada RM214.5 bilion.

“Bagi mengekalkan momentum ini dan mencapai sasaran negara iaitu 40 peratus sumbangan keluaran dalam negara kasar (KDNK), kita mesti memastikan halangan kawal selia yang tidak perlu, tidak membebankan PKS kita,” katanya.

“Walaupun kita tidak dapat mengawal faktor luaran seperti kos tenaga dan geopolitik, kerajaan boleh dan sewajarnya menggandakan pembaharuan kawal selia untuk mengurangkan kos pematuhan,” katanya melalui satu kenyataan.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), PKS mencapai pertumbuhan KDNK 5.7 peratus pada 2025, mengatasi pertumbuhan 5.2 peratus ekonomi negara yang lebih luas dalam tempoh yang sama.

Ng berkata, dengan keluaran nilai tambah mencecah RM689.8 bilion dan menyumbang 39.7 peratus kepada jumlah KDNK Malaysia, angka ini sekali lagi mengesahkan bahawa PKS adalah enjin pertumbuhan ekonomi negara yang tidak boleh dipertikaikan.

Hampir satu daripada dua rakyat Malaysia yang bekerja sedang berada dalam sektor PKS, dengan produktiviti buruh bagi setiap pekerja menokok 4.1 peratus kepada RM85,299, mencerminkan usaha sebenar dan berterusan oleh PKS untuk mengguna pakai alat pendigitalan, automasi dan AI, katanya.

Sementara itu, Ng mencadangkan agar kerajaan memberi tumpuan kepada dasar untuk beralih daripada geran menyeluruh kepada insentif berkaitan produktiviti, terutamanya yang menyokong penggunaan AI, integrasi digital dan automasi bagi mengimbangi kenaikan kos buruh.

“Tambahan pula, pelancaran inisiatif di seluruh negara seperti Akta Iltizam, Pembaharuan Pita Merah Birokrasi dan Amalan Kawal Selia yang Baik mesti dipercepatkan. Akhirnya, sektor awam perlu melihat sektor swasta sebagai rakan kongsi mereka dalam pembinaan negara,” katanya.

SAMENTA kekal komited untuk bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri selain pelbagai agensi kerajaan untuk membangunkan keupayaan yang lebih kukuh bagi PKS berkembang secara mampan ke arah juara serantau.

-- BERNAMA