ISTANBUL, 31 Julai (Bernama-Anadolu) -- Nauru secara rasmi menukar namanya kepada Republik Naoero, demikian menurut pengumuman kerajaan negara kepulauan kecil di Pasifik itu awal minggu ini, lapor Anadolu Ajansi.
Nama ringkas negara itu kini ialah Naoero manakala kod negaranya ditukar kepada NRO.
Rakyat negara itu pula akan dikenali sebagai dei-Naoero, menurut kenyataan kerajaan yang disiarkan di laman Facebook pada Rabu.
Keputusan untuk mengembalikan nama tradisional negara itu dicadangkan pada Januari menerusi rang undang-undang bagi meminda perlembagaan. Cadangan itu kemudian melalui tempoh menunggu selama 90 hari sebelum diluluskan sebulat suara oleh ahli-ahli Parlimen.
Yang Dipertua Parlimen Marcus Stephen mengesahkan pindaan itu pada 13 Mei, sekali gus menguatkuasakan pertukaran nama tersebut secara rasmi.
Walaupun kerajaan pada mulanya dijangka mengadakan satu referendum, namun memutuskan untuk tidak berbuat demikian selepas melalui proses pertimbangan yang teliti.
Kerajaan berkata langkah itu bukan bertujuan menggunakan nama baharu, sebaliknya mengembalikan nama tradisional yang "tidak pernah hilang, sebaliknya hanya menunggu untuk diterima sepenuhnya."
Presiden David Adeang berkata pertukaran nama itu tiada kaitan dengan politik tetapi mencerminkan identiti dan warisan negara, serta bertujuan "memelihara legasi nenek moyang kita serta memperkukuh masa depan anak-anak kita."
"Naoero menandakan permulaan kepada kebangkitan semula semangat kebanggaan negara dan lembaran baharu yang berteraskan perpaduan, tanggungjawab, patriotisme, kesihatan yang lebih baik, pendidikan serta pembangunan mampan," katanya.
Kerajaan juga memaklumkan bahawa organisasi antarabangsa dan negara lain telah dimaklumkan secara rasmi mengenai pertukaran nama itu.
-- BERNAMA-ANADOLU