Am 31/07/2026 03:36 PM

Khutbah Hari Pahlawan: Integriti Rakyat, Pemimpin Teras Kekuatan Negara

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Khutbah Hari Pahlawan: Integriti Rakyat, Pemimpin Teras Kekuatan Negara
Imam Besar Masjid Negara Dr Amru Alhaz Adnan menyampaikan khutbah khas pada solat Jumaat sempena Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2026 di Masjid Negara hari ini.

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Kekuatan sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada kelengkapan pertahanan atau kecanggihan teknologi, sebaliknya dipengaruhi oleh sikap jujur, amanah serta integriti seluruh rakyat dan pemimpinnya. 

Imam Besar Masjid Negara Datuk Dr Amru Alhaz Adnan ketika menyampaikan khutbah Jumaat sempena Sambutan Hari Pahlawan bertajuk ‘Setia Pada Amanah, Teguh Mempertahankan Negara’ mengingatkan bahawa kedaulatan dan keamanan negara dipertahankan setiap hari menerusi pelaksanaan amanah oleh setiap lapisan masyarakat. 

“Kadangkala kita menyangka bahawa mempertahankan negara hanya berlaku di sempadan. Hakikatnya, negara dipertahankan setiap hari melalui amanah yang dilaksanakan oleh rakyatnya. 

“Negara menjadi kuat apabila rakyatnya jujur, pemimpinnya amanah, penjawat awamnya berintegriti, peniaganya tidak menipu, ibu bapa mendidik anak-anak dengan penuh tanggungjawab dan apabila setiap muslim melaksanakan amanahnya kerana Allah SWT,” katanya. 

Solat Jumaat di Masjid Negara hari ini turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Antara yang hadir ialah Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris.

Amru Alhaz dalam khutbahnya berkata Hari Pahlawan yang disambut pada 31 Julai setiap tahun bukan sekadar bagi mengenang jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan, tetapi juga mengajak masyarakat bermuhasabah tentang peranan masing-masing dalam memelihara kedamaian negara. 

Beliau turut menyeru umat Islam agar menterjemahkan rasa penghargaan terhadap pahlawan tanah air dengan menjadi masyarakat yang berintegriti, berdisiplin, menjauhi rasuah serta sentiasa memelihara perpaduan demi kesejahteraan negara. 

-- BERNAMA