Am 31/07/2026 04:47 PM

Kejohanan Bola Sepak Antara Masjid Libatkan Pemain Bukan Islam

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kejohanan Bola Sepak Antara Masjid Libatkan Pemain Bukan Islam
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan (tengah) ketika Sidang Media Majlis Peluncuran Kejohanan Bola Sepak Piala YB Menteri Agama 2026 di Masjid At-Takwa Taman Tun Dr Ismail hari ini. Turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Mohd Nizam Yahya.

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Kejohanan bola sepak antara masjid yang dijadual berlangsung pada 29 dan 30 Ogos ini akan turut melibatkan pemain bukan Islam sebagai usaha menjadikan institusi masjid sebagai ejen penyatuan masyarakat pelbagai kaum, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata setiap pasukan yang menyertai Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sepasukan Jemputan MAIWP Antara Masjid Seluruh Malaysia 2026 itu perlu menyenaraikan dua pemain bukan Islam dan sekurang-kurangnya seorang daripada mereka mesti berada di padang pada satu-satu masa.

“Kita mahu melihat bahawa masjid bukan hanya tempat untuk menyatupadukan umat Islam, tetapi juga meraikan perbezaan dan menghormati orang lain,” katanya pada sidang media sempena pelancaran kejohanan itu di Masjid At-Taqwa di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Mohd Nizam Yahya.

Kejohanan edisi sulung bertemakan “Aksi Bola Merdeka” itu akan berlangsung di Padang Institut Latihan Sultan Ahmad Shah (ILSAS), Bangi, Selangor, dengan menyasarkan penyertaan 32 pasukan.

Zulkifli berkata setiap pasukan dibenarkan mendaftarkan 15 pemain terdiri daripada enam kakitangan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), tujuh remaja berusia di bawah 18 tahun dan dua pemain bukan Islam.

Beliau berkata kejohanan itu digerakkan menerusi program Semarak Masjid Bersama Belia yang bertujuan mengangkat institusi masjid sebagai hab dinamik untuk aktiviti sukan, rekreasi dan penyatuan komuniti selain fungsi kerohanian serta ibadah.

Zulkifli berkata pendekatan berasaskan minat golongan muda itu turut disepadukan dengan pengisian kerohanian termasuk solat berjemaah dan program lain di masjid.

“Kita menghargai dan meraikan minat mereka, tetapi minat itu perlu dibawa ke satu jalan yang baik. Paling penting, mereka berada dalam persekitaran yang baik dengan masjid dan pelbagai program,” katanya.

Beliau berkata penganjuran kejohanan itu menyusuli kejayaan projek rintis Liga Futsal peringkat Wilayah Persekutuan yang menerima sambutan menggalakkan daripada golongan muda yang mewakili masjid masing-masing.

Setakat ini, Wilayah Persekutuan serta enam negeri, iaitu Selangor, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan Terengganu telah mengesahkan penyertaan.

Pasukan juara akan menerima wang tunai RM3,000, piala pusingan, piala iringan dan pingat serta peluang menyertai perlawanan persahabatan bersama Kelab Bola Sepak MAIWP (MAIWP FC) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Naib juara pula menerima RM2,000 berserta pingat, manakala dua pasukan tempat ketiga bersama masing-masing membawa pulang RM1,000 dan pingat.

Kejohanan itu dianjurkan oleh MAIWP FC dengan kerjasama Bahagian Khidmat Pengurusan MAIWP dan Badan Kebajikan Pekhidmat MAIWP, manakala Pusat Pungutan Zakat-MAIWP (PPZ-MAIWP) dan Syarikat Viko bertindak sebagai rakan strategik.

-- BERNAMA