PADANG BESAR, 31 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi fenomena Super El Nino yang dijangka berlaku pada November, menerusi pemantauan berterusan terhadap empangan dan loji rawatan air (LRA) di seluruh negara bagi memastikan bekalan air kepada pengguna terus terjamin.
Pengerusi Jawatankuasa Kecemasan dan Kesediaan Risiko (JKKR) SPAN Sulaiman Kamisan berkata pihaknya bersama agensi berkaitan juga mengadakan lawatan kerja ke beberapa empangan di Kedah dan Perlis bagi menilai keadaan semasa sumber air mentah.
"Kita mahu memastikan sumber bekalan air mencukupi dan langkah mitigasi telah dirancang lebih awal bagi menghadapi kemungkinan kemarau," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja JKKR SPAN di Empangan Timah Tasoh, dekat sini hari ini.
Sulaiman berkata hasil pemantauan mendapati semua agensi berkaitan, termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta operator bekalan air mengambil langkah-langkah awal dan bersedia melaksanakan pelan tindakan masing-masing sekiranya keadaan kemarau menjadi lebih buruk.
Dalam pada itu, beliau berkata Perlis antara negeri yang kini diberi perhatian berikutan paras air Empangan Timah Tasoh berada pada tahap kritikal.
Berdasarkan taklimat diberikan JPS dan Syarikat Air Perlis (SAP), beliau berkata dua agensi itu menyediakan pelbagai langkah mitigasi termasuk pemasangan pam sementara bagi mengepam air ke kawasan pengambilan (intake), mengorek saliran tersumbat serta tindakan lain bagi memastikan operasi loji rawatan air tidak terjejas.
"Kita berharap hujan yang lazimnya berlaku pada September hingga Oktober dapat membantu meningkatkan paras air empangan ini kepada tahap lebih selamat. Namun, sekiranya semua langkah mitigasi telah diambil tetapi masih tiada hujan, kemungkinan pelaksanaan Bekalan Air Berjadual (BAB) atau catuan air terpaksa dipertimbangkan sebagai langkah terakhir," katanya.
Sementara itu, SPAN dalam kenyataan bersempena dengan lawatan kerja itu memaklumkan hingga semalam, sebanyak 35 empangan daripada 43 empangan yang dipantau di seluruh negara berada pada tahap normal.
Empat lagi empangan berada pada tahap waspada, dua empangan (tahap amaran), manakala Empangan Timah Tasoh di Perlis serta Empangan Lebam (Johor) pada tahap kritikal.
Selain itu, pemantauan terhadap 117 LRA utama di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan mendapati kesemuanya masih beroperasi secara normal, dan mampu memenuhi permintaan bekalan air domestik serta bukan domestik.
SPAN turut menjangkakan bekalan air negara kekal mencukupi sehingga penghujung tahun ini, namun pemantauan dan pelan tindakan kecemasan akan terus dilaksanakan sekiranya fenomena Super El Nino memberikan kesan kepada operasi bekalan.
-- BERNAMA