Am 31/07/2026 04:27 PM

Irmohizam Terima Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Daripada World Business Chamber

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Irmohizam Terima Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Daripada World Business Chamber
Kredit: World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) 

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim menerima anugerah Special Excellence Award 2026: World Outstanding Business Leadership Excellence Award daripada World Business Chamber (WBC).

WTCKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan anugerah berprestij itu merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan berterusan Irmohizam dalam memperkukuh kerjasama perniagaan antarabangsa serta memajukan industri acara perniagaan negara.

Majlis penyampaian anugerah tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam selaku tetamu kehormat sempena Majlis Makan Malam Perasmian WBC, di sini, semalam.

“Saya amat berbesar hati menerima pengiktirafan ini yang mencerminkan perjalanan kepimpinan saya serta dedikasi seluruh warga WTCKL dalam memacu kecemerlangan organisasi.

“Bagi saya, kepimpinan bukan sekadar mencapai kejayaan, tetapi membina kerjasama strategik, menggalakkan inovasi dan mencipta impak yang berkekalan,” kata Irmohizam dalam kenyataan itu.

Beliau berkata WTCKL akan terus memperkukuh kerjasama antarabangsa dan menyokong aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 dalam memperkasakan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi acara perniagaan bertaraf dunia, sekali gus merangsang perdagangan, pelaburan dan pertumbuhan ekonomi negara.

Menurut kenyataan itu, di bawah kepimpinan Irmohizam, WTCKL telah melalui transformasi sebagai pusat konvensyen dan pameran bertaraf antarabangsa yang semakin berdaya saing.

Pada awal tahun lepas, WTCKL berjaya merangkul Anugerah Venue Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) ASEAN bagi kategori Venue Pameran untuk tempoh 2026 hingga 2028 di Cebu, Filipina, sekali gus membuktikan kecemerlangan premis berkenaan dalam memenuhi standard pelancongan ASEAN.

Sebagai Ahli Lembaga Pengarah World Trade Centers Association (WTCA) yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat, Irmohizam turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan WTCKL dengan rangkaian lebih 300 Pusat Dagangan Dunia di hampir 100 negara.

WBC merupakan platform global yang mempromosikan amalan perniagaan bertanggungjawab, kerjasama strategik dan pembangunan mampan dan menghimpunkan pemimpin perniagaan, usahawan, penggubal dasar dan ahli akademik dari seluruh dunia bagi memperkukuh kerjasama antarabangsa serta memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan. 

-- BERNAMA