ISTANBUL, 31 Julai (Bernama-Anadolu) -- Arab Saudi bersama 13 negara lain pada Khamis mengumumkan penubuhan gabungan pertahanan maritim multinasional bagi melindungi kebebasan pelayaran, perdagangan antarabangsa dan laluan bekalan tenaga di Selat Bab al-Mandab, Laut Merah dan Teluk Aden, lapor Anadolu Ajansi.
Pengumuman itu dibuat menerusi kenyataan bersama pada akhir mesyuarat antarabangsa yang dianjurkan di Riyadh, yang menghimpunkan ketua-ketua staf angkatan tentera dan wakil dari 43 negara serta delegasi Kesatuan Eropah (EU) bagi membincangkan usaha memperkukuh keselamatan laluan maritim antarabangsa dan menangani ancaman terhadap pelayaran serta perdagangan global.
Negara-negara pengasas memaklumkan bahawa penyertaan dalam aktiviti gabungan itu kekal sebagai keputusan berdaulat setiap negara anggota, sambil menegaskan bahawa pakatan berkenaan "bersifat pertahanan semata-mata, tidak menyasarkan mana-mana negara, pakatan atau organisasi antarabangsa dan akan melaksanakan semua aktivitinya dengan mematuhi sepenuhnya undang-undang antarabangsa, menghormati kedaulatan negara serta melindungi kebebasan pelayaran."
Kenyataan itu turut menetapkan Arab Saudi sebagai negara pengasas, peneraju dan ibu pejabat tetap gabungan itu, dengan Pusat Penyelarasan Operasi Bersama, Pusat Operasi Maritim Bersama serta Sekretariat Agung berpangkalan di negara itu.
Menurut kenyataan bersama itu, gabungan berkenaan diwujudkan sebagai "kerangka kerjasama pertahanan maritim" bagi meningkatkan keselamatan maritim, melindungi kebebasan pelayaran, menjamin keselamatan laluan perdagangan antarabangsa dan bekalan tenaga serta melindungi kepentingan maritim di Selat Bab al-Mandab, Laut Merah dan Teluk Aden selaras dengan undang-undang antarabangsa, konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan norma antarabangsa yang diiktiraf.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa negara-negara peserta akan meneruskan proses domestik masing-masing yang diperlukan bagi menyertai piagam gabungan itu secara rasmi.
Ia turut menyeru agar kerjasama diperkukuh dalam aspek keselamatan maritim, perkongsian risikan dan maklumat, perancangan operasi, latihan bersama, pertukaran pengalaman, pembangunan kapasiti serta operasi maritim bersama selaras dengan piagam gabungan itu.
Kementerian Pertahanan Arab Saudi memaklumkan mesyuarat itu turut membincangkan ancaman yang semakin meningkat terhadap keselamatan maritim termasuk keselamatan kapal dagang, kapal tangki minyak dan infrastruktur maritim.
Mesyuarat itu juga meneliti kaedah memperkukuh kerjasama pertahanan pelbagai hala bagi melindungi rantaian bekalan dan ekonomi global.
Para peserta turut membincangkan draf piagam gabungan, struktur organisasi, pengaturan perintah dan kawalan serta mekanisme operasi pada masa depan.
“Langkah berkenaan bertujuan mewujudkan kerangka institusi yang berkesan bagi kerjasama dalam menghadapi ancaman maritim bersama di kawasan termasuk Selat Bab al-Mandab, Laut Merah dan Teluk Aden, menurut kenyataan itu.
Menurut kementerian itu, peserta mencapai persefahaman untuk memuktamadkan prosedur penubuhan gabungan berkenaan, termasuk draf akhir piagam, penyempurnaan struktur organisasi serta pengaturan teknikal yang diperlukan, sekali gus membuka jalan kepada pelancaran gabungan itu dan permulaan operasinya.
Gabungan berkenaan adalah inisiatif pertahanan antarabangsa yang terbuka kepada semua negara yang ingin menyertainya, dengan matlamat melindungi kebebasan pelayaran dan perdagangan global serta memperkukuh keselamatan dan kestabilan di peringkat serantau dan antarabangsa dalam menghadapi ancaman terhadap laluan maritim antarabangsa.
Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA), 14 negara mengeluarkan kenyataan bersama pada akhir mesyuarat itu sebagai tanda sokongan terhadap penubuhan gabungan maritim berkenaan, iaitu Arab Saudi, Kuwait, Bahrain, Qatar, Pakistan, Turkiye, Mesir, Jordan, Yaman, Bangladesh, Nigeria, Sudan, Djibouti dan Somalia.
"Kemungkinan penyertaan masih terbuka kepada negara lain untuk menyertai piagam gabungan itu selepas melengkapkan prosedur domestik masing-masing," menurut kementerian itu.
Langkah itu diambil susulan ancaman yang semakin meningkat terhadap perkapalan komersial di Laut Merah selepas kumpulan Houthi mengisytiharkan apa yang disifatkannya sebagai sekatan maritim terhadap Arab Saudi pada 20 Julai dan kemudiannya mendakwa melancarkan serangan ke atas kapal yang mempunyai kaitan dengan Arab Saudi.
Riyadh berikrar akan melindungi laluan perkapalan dan bertindak balas terhadap sebarang ancaman terhadap pelayaran antarabangsa.
-- BERNAMA-ANADOLU