Am 31/07/2026 06:49 PM

Anwar Mohon Tunisia Pertimbang Pembebasan Ghannouchi Atas Dasar Kemanusiaan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Anwar Mohon Tunisia Pertimbang Pembebasan Ghannouchi Atas Dasar Kemanusiaan
Kredit: Laman Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengutus surat kepada Presiden Tunisia Kais Saied bagi merayu agar mempertimbangkan pembebasan tokoh politik Sheikh Rached Ghannouchi atas pertimbangan kemanusiaan. 

Menerusi catatan di laman Facebook, Anwar berkata rayuan itu dibuat susulan kebimbangan mendalam terhadap keadaan kesihatan Ghannouchi, 84, yang disifatkannya sebagai sahabat dan masih berada dalam tahanan di Tunisia.

"Saya telah mengutuskan sepucuk surat kepada Presiden Republik Tunisia, Kais Saied, bagi memohon pertimbangan sewajarnya terhadap keadaan kesihatan dan faktor usia beliau, termasuk mempertimbangkan pembebasannya atas dasar ihsan dan belas kasihan.

"Saya percaya nilai ihsan, belas kasihan dan maruah insan akan sentiasa menjadi pedoman dalam mendepani perkara ini," kata beliau.

Anwar berkata rayuan itu dibuat semata-mata atas pertimbangan kemanusiaan, dengan penuh hormat terhadap kedaulatan Republik Tunisia serta proses perundangan negara berkenaan.

-- BERNAMA