BUKIT MERTAJAM, 31 Julai (Bernama) -- Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita kerana disyaki terlibat dengan sindiket rangkaian pengedaran dadah dalam dua serbuan berasingan di sekitar Bukit Mertajam, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata dalam serbuan pertama pada 6.40 petang di sebuah rumah di Taman Gemilang Indah, polis menahan dua warga tempatan terdiri daripada seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 47 tahun.
“Hasil pemeriksaan di premis itu membawa kepada rampasan dadah disyaki jenis heroin, methamphetamine dan ganja, selain beberapa peralatan yang dipercayai digunakan bagi aktiviti pembungkusan serta pengedaran dadah.
“Pemeriksaan lanjut di dalam kabinet dapur rumah tersebut kemudiannya menemukan sebuah kotak besi mengandungi dua butir bom tangan asap,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Aminuddin berkata bertindak atas maklumat lanjut diperoleh, polis menjalankan serbuan susulan dan berjaya menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 46 tahun, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan itu.
Beliau berkata semakan mendapati suspek lelaki yang ditahan dalam serbuan pertama mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan dadah, manakala dua lagi suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau kesalahan dadah.
Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki yang ditahan dalam serbuan pertama positif ganja, manakala dua lagi negatif dadah.
Beliau berkata polis turut menyita tiga kereta, lima motosikal, tiga bentuk cincin emas serta wang tunai berjumlah RM5,700, dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM303,400.
Menurut beliau, ketiga-tiga suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam dan dibenarkan direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 6 Ogos bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
-- BERNAMA