PUTRAJAYA, 31 Julai (Bernama) -- Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata sebanyak 2,001 kes kebakaran kilang dengan kerugian mencecah RM4.21 bilion direkodkan sejak enam tahun lepas.
Beliau berkata sebanyak 222 kes direkodkan setakat Jun lepas sekali gus menunjukkan risiko kebakaran industri masih memerlukan perhatian serius semua pihak.
Sehubungan itu, katanya JBPM akan terus memperkukuh penguatkuasaan keselamatan kebakaran di premis industri selain memperluas pendidikan keselamatan air sebagai usaha mengurangkan risiko bencana dan melindungi nyawa serta harta benda rakyat.
“Keselamatan kebakaran di premis industri bukan lagi sekadar soal pematuhan kepada undang-undang sebaliknya menjadi faktor penting dalam menjamin keselamatan pekerja, kelangsungan operasi industri dan kestabilan ekonomi negara,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Nor Hisham berkata bagi memperkukuh pematuhan terhadap aspek keselamatan kebakaran, JBPM akan terus meningkatkan aktiviti pemeriksaan premis industri.
Beliau berkata sebanyak 1,878 premis kilang telah diperiksa pada 2025 berbanding 1,563 premis tahun sebelumnya.
“Dalam tempoh sama, jumlah premis yang dikenakan Notis Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) meningkat daripada 706 premis pada tahun 2024 kepada 1,191 premis pada 2025,” katanya.
Bagi tempoh enam bulan pertama 2026, Nor Hisham berkata sebanyak 945 pemeriksaan premis kilang telah dilaksanakan dengan 637 Notis MBK dikeluarkan, dan sejumlah 426 kes dikenal pasti sebagai kes bahaya kebakaran manakala 16 premis didapati gagal mematuhi notis yang dikeluarkan.
Dalam usaha memperkukuh budaya keselamatan air, beliau berkata JBPM turut mencatat perkembangan positif menerusi Program Celik Renang yang dilaksanakan di seluruh negara.
Nor Hisham berkata sehingga kini, sebanyak 10,542 peserta berjaya dilatih sepanjang tahun ini sekali gus meletakkan jabatan di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran 50,000 peserta menjelang 2030.
“Pencapaian tersebut membuktikan sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat terhadap usaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran asas keselamatan air sebagai langkah mengurangkan risiko kematian akibat lemas,” katanya.
-- BERNAMA