ALOR SETAR, 31 Julai (Bernama) -- Imigresen FC (IFC), yang kini tampil dengan identiti baharu sebagai Star City FC (SCFC), menyasarkan kedudukan kelompok tiga terbaik Liga Super musim 2026/2027.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sasaran itu realistik selepas berjaya menamatkan kempen liga 2025/2026 di tangga keenam, walaupun merupakan pendatang baharu Liga Super.
“Pada musim lepas kita letak sasaran untuk berada di pertengahan liga, tetapi tahun ini sasaran adalah kelompok tiga teratas. Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuching City FC dan Selangor FC berada di kelompok tiga teratas, disusuli Kuala Lumpur City FC dan pasukan lain sebelum ini.
“Kita percaya boleh memposisikan diri untuk berada di kedudukan itu, apa yang kita perlu buat adalah meningkatkan prestasi, paling tidak menyaingi atau menyamai pasukan Kuching City FC dan Selangor FC,” katanya selepas Majlis Pelancaran Star City FC di sini, hari ini.
Beliau berkata sasaran itu selari dengan pelantikan jurulatih berpengalaman dari Australia, Mehmet Durakovic sebagai pengendali baharu serta barisan pemain yang dijangka mampu meletakkan pasukan di kedudukan berkenaan.
“Musim ini, kita jauh lebih bersedia. Sekarang pemain semua berlatih di sini dan sebelum bermulanya musim baharu pada Ogos depan, mereka akan menjalani latihan di luar negara. Di rantau Asia banyak fasiliti sukan yang baik serta pasukan kelab yang sangat hebat, jadi pentas latihan adalah dalam Asia.
“Kita sudah kenal pasti lokasi latihan, anggap itu sebagai persiapan pasukan, tetapi, home ground SCFC masih di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis dan kenapa kita pilih utara adalah bagi memberi peluang peminat bola sepak di utara untuk menonton perlawanan tanpa perlu pergi jauh,” katanya.
Sementara itu, ketua pasukan SCFC Mohd Rizal Mohd Ghazali berkata semua pemain membawa semangat baharu selari dengan pelantikan ketua jurulatih baharu, pemain serta penjenamaan semula pasukan.
“Apa yang pengurusan tertinggi sasar, kita akan buat yang terbaik dan usahakan semuanya. Sebagai kapten, saya akan pastikan semua pemain turut bersama saya kerana bola sepak bukan soal saya seorang, ini permainan berpasukan, jadi kami akan cuba lebih baik musim ini.
“Pemain juga yakin ketua jurulatih baharu yang sememangnya berpengalaman luas di Malaysia dan telah berjaya membawa banyak pasukan menjadi juara, dengan taktikal yang dimilikinya, beliau mampu membawa pasukan lebih jauh,” katanya.
-- BERNAMA