Am 31/07/2026 06:42 PM

mySalam Cipta Rekod MBOR Menerusi Audio Siar #BijakWang Di Gunung Kinabalu

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
mySalam Cipta Rekod MBOR Menerusi Audio Siar #BijakWang Di Gunung Kinabalu
Kredit: Great Eastern Takaful Berhad

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Skim perlindungan kesihatan nasional mySalam, yang diuruskan oleh Great Eastern Takaful Berhad, mencipta sejarah apabila berjaya mencatat nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Siaran Literasi Kewangan Pada Altitud Tertinggi.

Kenyataan Great Eastern Takaful hari ini memaklumkan pengiktirafan itu diperoleh menerusi rakaman khas audio siar #BijakWang di Gunung Kinabalu yang disiarkan menerusi saluran TikTok dan Instagram rasmi “mysalamofficial.”

"Detik bersejarah rakaman audio siar berkenaan berlangsung di Panalaban pada ketinggian 3,280 meter sebelum diteruskan ke Puncak Selatan Gunung Kinabalu pada ketinggian 3,900 meter sekali gus membawa informasi pengurusan kewangan ke titik tertinggi negara.

"Ekspedisi ini membawa simbolisme penting bahawa cabaran pengurusan kewangan individu mempunyai banyak persamaan dengan perjalanan mendaki gunung yang memerlukan perancangan rapi, persediaan mencukupi, disiplin yang konsisten serta ketabahan demi mencapai matlamat," menurut kenyataan itu.

Great Eastern Takaful memaklumkan rakaman audio siar itu telah mencatatkan lebih 688,000 tontonan dan meraih lebih 37,000 tanda suka setakat ini.

Ketua mySalam di Great Eastern Takaful Syuhaib Ithnin berkata mesej utama ekspedisi itu ialah untuk memberi kesedaran bahawa setiap rakyat Malaysia memiliki "gunung kewangan" masing-masing untuk didaki. 

"Ada yang berdepan cabaran kos sara hidup, ada yang berusaha mengurangkan beban hutang dan ada yang sedang membina masa depan keluarga.

"Berbekalkan ilmu, persediaan dan disiplin, setiap puncak mampu dicapai," katanya.

Beliau berkata cabaran utama ketika ini bukan kerana masyarakat kekurangan maklumat sebaliknya bagaimana menarik perhatian mereka supaya lebih mementingkan pengurusan kewangan.

"Jika mesej #BijakWang mampu dibawa sehingga ke puncak tertinggi di Malaysia, kami percaya mesej ini juga mampu sampai kepada setiap lapisan masyarakat di seluruh negara," katanya. 

Program #BijakWang, yang dilancarkan pada Januari lepas, bertujuan memperkasakan golongan belia dan menyantuni masyarakat B40 di seluruh negara selaras dengan aspirasi membina masyarakat lebih berdaya tahan dari segi kewangan.

Inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan mySalam untuk memperluas kesedaran mengenai kepentingan literasi dan perlindungan kewangan kepada rakyat Malaysia menerusi pendekatan yang lebih dekat, relevan serta mudah diakses oleh pelbagai lapisan masyarakat.

-- BERNAMA