Am 31/07/2026 03:23 PM

ITMAX Peroleh Kontrak Sistem Lampu Jalan Pintar Bernilai RM120 Juta Daripada DBKL

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
ITMAX Peroleh Kontrak Sistem Lampu Jalan Pintar Bernilai RM120 Juta Daripada DBKL

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- ITMAX System Bhd memperoleh kontrak bernilai RM120 juta daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi pembekalan, pemasangan dan penyelenggaraan sistem lampu jalan pintar di seluruh ibu kota.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, penyedia perkhidmatan infrastruktur digital bersepadu berasaskan kecerdasan buatan (AI) itu menyatakan pada 30 Julai 2026, syarikat menerima surat setuju terima bertarikh 28 Julai, 2026 yang diberikan DBKL bagi kontrak berkenaan.

Syarikat itu memaklumkan kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada perolehan dan aset bersih sesaham syarikat sepanjang tempoh pelaksanaan kontrak berkenaan.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, ITMAX System menjelaskan kontrak itu mempunyai tempoh masa selama enam tahun bermula dari 1 Ogos, 2026 hingga 31 Julai, 2032.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif ITMAX System William Tan Wei Lun berkata kontrak tersebut merupakan satu pengiktirafan terhadap sistem lampu jalan pintar Malaysia yang direka dan dibangunkan secara tempatan oleh syarikat.

Katanya, ia sekali gus membuktikan bahawa inovasi anak tempatan mampu menghasilkan penyelesaian bandar pintar bertaraf dunia.

"Platform lampu jalan pintar kami menggabungkan ciri-ciri seperti pelarasan pencahayaan mudah suai, pemantauan berpusat dan pengesanan kerosakan masa nyata untuk meningkatkan kecekapan tenaga, kebolehpercayaan operasi serta keselamatan awam.

"Kami kekal komited untuk membangunkan teknologi berasaskan AI yang menyokong perubahan digital Malaysia serta membina bandar yang lebih pintar, selamat dan mampan," katanya.

-- BERNAMA