Am 31/07/2026 01:06 PM

PRN NS: SPR Tidak Terima Aduan Sogokan Wang Ketika Kempen

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PRN NS: SPR Tidak Terima Aduan Sogokan Wang Ketika Kempen
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun

TAMPIN, 31 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan tidak menerima sebarang aduan rasmi berhubung dakwaan politik wang atau sogokan sepanjang tempoh pengundian awal dan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan setakat ini, kata Pengerusinya Datuk Seri Ramlan Harun.

Beliau berkata pihak yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu disaran mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM), kerana isu rasuah berada di bawah bidang kuasa kedua-dua agensi berkenaan.

"Kami tidak menerima sebarang aduan rasmi berhubung dengan berlakunya sogokan atau sebagainya dan kita berharap supaya pihak yang mempunyai maklumat berkenaan dengan perkara tersebut dapat mengemukakan aduan rasmi terus kepada pihak agensi berkaitan iaitu SPRM ataupun PDRM. 

"Pihak kami cuma menerima laporan yang berkaitan dengan kesalahan kecil pilihan raya dan itu yang telah pun kita ambil tindakan dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan PRN Negeri Sembilan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Perdana Tampin hari ini.

Menurut Ramlan, pihaknya merekodkan sebanyak 267 kesalahan pilihan raya sepanjang tempoh berkempen pada PRN Negeri Sembilan yang bermula 18 Julai lepas dan tindakan telah pun diambil. 

Sementara itu, beliau berkata semua pusat mengundi di Negeri Sembilan berada dalam keadaan siap siaga bagi menerima pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab masing-masing esok.

"Setakat ini semua pusat mengundi telah bersedia untuk menerima pengundi bermula 8 pagi esok. Pada hari ini kami telah pun meninjau proses semakan peti undi di Dewan Perdana Tampin dan proses ini juga sedang berjalan di semua pusat penjumlahan undi di seluruh Negeri Sembilan melibatkan semua DUN,” katanya.

Berdasarkan tinjauan, beliau berkata semua berada dalam keadaan bersedia dan yakin proses pengundian pada PRN Negeri Sembilan esok berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Beliau menjangkakan keputusan seawal 10 malam manakala keputusan penuh sebelum 12 tengah malam.

Orang ramai boleh mendapatkan perkembangan terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16 menerusi portal khas Bernama di https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA