KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- YTL Hospitality Real Estate Investment Trust (YTL Hospitality REIT) mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM240.74 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2026 (TK2026), berbanding RM148.55 juta pada tahun kewangan 2025.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata peningkatan itu disumbangkan terutamanya oleh pendapatan hartanah bersih yang lebih tinggi dan pengurangan kos kewangan.
Ini terutamanya disebabkan oleh pengurangan kadar faedah ke atas pinjaman dolar Australia dan peningkatan dalam keuntungan nilai saksama bersih ke atas hartanah.
Pendapatan turut meningkat kepada RM570.34 juta daripada RM548.32 juta sebelumnya.
Bagi suku keempat, keuntungan bersih YTL Hospitality REIT meningkat kepada RM119.55 juta daripada RM56.24 juta dalam suku yang sama tahun lepas, manakala pendapatan sedikit lebih rendah pada RM126.32 juta daripada RM127.02 juta.
YTL Hospitality REIT mengaitkan peningkatan keuntungan bersih suku keempat dengan pendapatan hartanah bersih yang lebih tinggi, keuntungan mata wang asing belum direalisasi yang lebih tinggi sebanyak RM1.92 juta daripada pinjaman dalam mata wang asing, dan keuntungan nilai saksama bersih ke atas hartanah sebanyak RM109.99 juta.
Pendapatan yang tersedia bagi pengagihan pada suku kewangan semasa pula sebanyak RM53.821 juta mewakili peningkatan sebanyak 1.13 peratus berbanding RM53.219 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Mengulas mengenai prospek, YTL Hospitality REIT berkata sektor hospitaliti dijangka kekal stabil di rantau tempat kumpulan itu beroperasi, disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam permintaan pelancongan domestik dan antarabangsa.
-- BERNAMA