Ekonomi 30/07/2026 08:40 PM

Unit Perdana Petroleum Peroleh Kontrak Sewa AWB Daripada Keyfield Serenity

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Unit Perdana Petroleum Peroleh Kontrak Sewa AWB Daripada Keyfield Serenity

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Perdana Petroleum Bhd, Perdana Nautika Sdn Bhd (PNSB) memperoleh kontrak untuk menyewa satu unit kapal kerja penginapan (AWB) daripada Keyfield Serenity Sdn Bhd

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis, penyedia perkhidmatan sokongan marin luar pesisir itu menjelaskan PNSB telah menerima surat lantikan daripada Keyfield Serenity bagi kontrak tersebut pada 21 Mei, 2026.

“Kontrak tersebut bertempoh 241 hari, dengan pilihan untuk melanjutkan tempoh itu selama 30 hari, dan dijangka bermula pada 9 Julai, 2026.

"Anggaran nilai kontrak dijangka menepati pemberian arahan kerja yang dikeluarkan," tambahnya.

Syarikat itu menjelaskan anggaran nilai kontrak tidak dapat didedahkan susulan terdapat klausa kerahsiaan dan privasi kontrak tersebut.

Menurut Perdana Petroleum, PNSB akan menyediakan satu AWB, bersama-sama dengan kru dan peralatannya, untuk menyokong penginapan, pengangkatan dan operasi luar pesisir secara 24 jam.

Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2026 dan 31 Dis, 2027, serta tidak menjejaskan modal saham atau struktur pegangan saham.

Mengenai risiko, Perdana Petroleum menjelaskan kontrak itu tertakluk kepada risiko operasi biasa, yang boleh diminimumkan melalui sistem pengurusan projek kumpulan dan kawalan perniagaan dalaman.

Menurutnya, tiada pengarah, pemegang saham utama atau individu yang berkaitan dengan syarikat mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut.

“Lembaga pengarah Perdana Petroleum berpendapat penerimaan kontrak itu adalah demi kepentingan terbaik Perdana Petroleum,” jelasnya.

Syarikat itu memaklumkan kontrak itu tidak memerlukan kelulusan pemegang saham syarikat atau mana-mana pihak berkuasa kawal selia.

-- BERNAMA