Oleh Nursyabiha Sukri
PORT DICKSON, 30 Julai (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mempertaruhkan rekod pentadbiran serta prestasi ekonomi negeri sepanjang hampir dua penggal menerajui kerajaan negeri sebagai asas mempertahankan mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Pengerusi PH Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata maklum balas yang diterima daripada pengundi sepanjang tempoh berkempen setakat ini amat positif, dengan rakyat dilihat memberi perhatian terhadap pencapaian kerajaan negeri serta perancangan masa depan negeri.
Menteri Besar itu berkata penerimaan berkenaan menunjukkan pengundi menilai prestasi serta hasil kerja kerajaan negeri, di samping memberi perhatian kepada hala tuju pembangunan yang akan diteruskan sekiranya PH sekali lagi diberi mandat mentadbir negeri.
“Kita turun padang bertemu rakyat dan maklum balas yang diterima setakat ini amat positif. Rakyat melihat apa yang telah kerajaan negeri lakukan, bukan hanya mendengar janji.
“Kita tampil dengan rekod pencapaian sepanjang hampir dua penggal mentadbir dan menyerahkan kepada rakyat untuk menilai segala usaha yang dilakukan serta memberi manfaat yang dinikmati mereka,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Pengerusi PKR Negeri Sembilan itu berkata pendekatan kempen PH pada pilihan raya kali ini memberi tumpuan kepada pencapaian pentadbiran, pembangunan ekonomi serta perancangan masa depan negeri, berbanding membangkitkan isu yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
“Kali ini kempen kita cukup berbeza. Kita tidak terikut-ikut dengan naratif perkauman atau agama, sebaliknya dari awal hingga akhir kita mengutarakan apa yang telah kita laksanakan dan apa yang bakal kita laksanakan.
“Kami menyerahkan report card ini kepada rakyat untuk dinilai. Ini membuktikan kami bukan sekadar berjanji, sebaliknya bekerja untuk merancakkan ekonomi dan menyelesaikan isu harian rakyat,” kata Naib Presiden PKR itu.
Aminuddin, yang juga calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, berkata pencapaian kerajaan negeri itu turut disokong perancangan yang digariskan dalam manifesto PH, antaranya membangunkan sembilan kawasan perindustrian baharu di seluruh negeri bagi menarik lebih banyak pelaburan serta mewujudkan peluang pekerjaan.
Beliau berkata antara projek yang dirancang dan sedang dilaksanakan ialah pembangunan Projek Pelabuhan Pintar AI di Port Dickson serta kawasan perindustrian di Springhill, yang dijangka menarik pelaburan syarikat teknologi antarabangsa.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata tumpuan kerajaan negeri ketika ini adalah untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan berpendapatan kompetitif supaya rakyat, khususnya golongan muda, dapat membina kerjaya tanpa perlu berhijrah ke negeri lain.
“Kita mahu rakyat bekerja, menetap dan beriadah di Negeri Sembilan. Dengan jumlah penduduk sekitar 1.2 juta orang, usaha menarik lebih banyak pelaburan penting bagi memastikan generasi muda tidak perlu berhijrah ke negeri lain untuk mencari rezeki,” katanya.
Sabtu ini, sebanyak 867,151 pemilih biasa akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu, membabitkan pertandingan 103 calon bagi merebut 36 kerusi DUN.
Pilihan raya kali ini menyaksikan PH bertanding di semua 36 kerusi DUN, diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 25 kerusi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 24 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) 11 kerusi, selain empat calon Bebas, manakala Barisan Jamaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing bertanding satu kerusi.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA