Am 30/07/2026 10:26 PM

25 Pendatang Haram Ditahan Dalam Operasi Bersepadu ESSCOM Di Sandakan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
25 Pendatang Haram Ditahan Dalam Operasi Bersepadu ESSCOM Di Sandakan
Datuk Victor Sanjos

SANDAKAN, 30 Julai (Bernama) -- Sebanyak 25 pendatang haram ditahan dan hampir RM500,000 rampasan serta kompaun direkodkan dalam dua hari operasi bersepadu dikoordinasikan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di sini sejak semalam.

Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos berkata pemeriksaan di beberapa koloni setinggan sekitar Jalan Istana, Kampung Tabah Baru, Kampung Karamunting dan Pusat Bandar Sandakan itu membongkar pelbagai aktiviti menyalahi undang-undang.

“Dalam operasi itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 21 warganegara Filipina dan empat warganegara Indonesia yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri sah, manakala Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas rokok seludup bernilai RM20,000.

“Pada masa sama, Sabah Electricity merampas 300 kilogram (kg) kabel sambungan elektrik  haram bernilai RM15,000, dengan kerugian dianggarkan mencecah RM300,000 setahun akibat sambungan haram ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Victor berkata Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut merampas 1,105 kg minyak masak bersubsidi bernilai RM2,762 serta sebuah kenderaan bernilai RM20,049.

“Selain itu, Jabatan Hidupan Liar Sabah merampas 1,550 telur penyu yang dianggarkan bernilai RM7,750 dan rampasan ini berjaya menghalang telur penyu memasuki pasaran gelap, sekali gus menyokong pemuliharaan spesies marin yang dilindungi,” katanya 

Sementara itu, Victor berkata kejayaan operasi itu membuktikan ancaman terhadap keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) bukan hanya melibatkan jenayah rentas sempadan atau kehadiran pendatang haram malah merangkumi pelbagai aktiviti ekonomi haram.

“Antaranya, penyalahgunaan subsidi, sambungan utiliti haram, penyeludupan dan pelanggaran undang-undang pekerjaan yang memberi kesan langsung kepada hasil kerajaan, keselamatan komuniti dan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya.

Beliau berkata operasi bersepadu melibatkan 263 pegawai dan anggota daripada ESSCOM, JIM,JKDM, serta Majlis Perbandaran Sandakan itu merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan MADANI melalui Operasi Sanggah ESSCOM memperkukuh keselamatan sedia ada ESS Zone.

Victor berkata orang ramai yang memiliki sebarang maklumat berkaitan insiden keselamatan atau aktiviti yang mencurigakan di ESS Zone diminta menyalurkan kepada Pusat Operasi ESSCOM dengan menhubungi talian 089-863181 atau melalui aplikasi WhatsApp 011-63311072.

-- BERNAMA