IPOH, 30 Julai (Bernama) -- Penganjuran “MATTA Connect 2026” di Ipoh membuktikan bandar di luar ibu negara juga berupaya menjadi tuan rumah kepada acara pelancongan bertaraf dunia, sekali gus membuka lebih banyak peluang mempromosikan destinasi pelancongan baharu Malaysia ke pasaran antarabangsa.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata keputusan menganjurkan acara tersebut di Perak mencerminkan keyakinan terhadap potensi negeri itu sebagai destinasi pelancongan yang mampu menarik penyertaan pemain industri dari seluruh dunia.
Beliau berkata kehadiran pembeli dan pengendali pelancongan antarabangsa di Ipoh bukan sahaja untuk sesi padanan perniagaan malah peluang untuk mereka merasai sendiri pengalaman destinasi tersebut, seterusnya membuka jalan kepada pembangunan pakej pelancongan baharu.
“Dengan datang ke Ipoh, pembeli dan pengendali pelancongan antarabangsa bukan setakat menghadiri mesyuarat tetapi merasai sendiri pengalaman destinasi ini. Mereka menginap di hotel di sini, menikmati hidangan tempatan, mengunjungi pelbagai tarikan pelancongan serta berinteraksi dengan komuniti setempat.
“Pengalaman secara langsung ini membina keyakinan komersial sebenar, mendorong penghasilan pakej pelancongan baharu dan memperkenalkan Perak kepada pasaran antarabangsa yang sebelum ini mungkin tidak pernah dipertimbangkan sebagai destinasi pelancongan,” katanya.
Ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Pelanconan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man di Majlis Makan Malam Penutup MATTA Connect 2026 di sini malam tadi.
Tiong berkata penganjuran acara itu selaras dengan objektif kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), yang bertujuan memastikan pertumbuhan sektor pelancongan diagihkan secara lebih seimbang ke seluruh negara, dan tidak hanya tertumpu di destinasi utama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Langkawi dan Sabah.
“Daripada hutan hujan Royal Belum dan Tapak Warisan Dunia UNESCO Lembah Lenggong hingga ke tarikan bersejarah di Ipoh, warisan diraja Kuala Kangsar serta pantai di Pulau Pangkor, Perak menawarkan kepelbagaian pengalaman yang tiada tandingannya.
“Di sebalik destinasi ikonik ini, Perak turut terkenal dengan sajian kulinari bertaraf dunia, gua batu kapur yang mengagumkan, pelancongan pengembaraan, ekopelancongan serta inisiatif berasaskan komuniti. Inilah pengalaman autentik yang dicari oleh pelancong global kini,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata kementerian akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Perak, Tourism Perak dan pemain industri bagi memperkukuh infrastruktur dan menambah baik produk pelancongan, serta mempergiat usaha promosi di peringkat antarabangsa bagi meletakkan Perak sebagai antara destinasi pelancongan utama negara sempena TMM2026.
Beliau turut menyifatkan platform seperti MATTA Connect penting kerana menyediakan ruang berharga kepada penggiat industri untuk membina kepercayaan, berkongsi maklumat pasaran dan bekerjasama menghasilkan pengalaman pelancongan yang lebih inovatif.
-- BERNAMA