Ekonomi 30/07/2026 10:24 PM

Malaysia Terima Manfaat Daripada Peralihan Rantaian Bekalan Global --Ahli Ekonomi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia Terima Manfaat Daripada Peralihan Rantaian Bekalan Global --Ahli Ekonomi
Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan AmBank Firdaos Rosli

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Prestasi perdagangan luar biasa Malaysia pada 2025 mencerminkan kedudukannya sebagai hab perdagangan dan pembuatan strategik di tengah-tengah penjajaran semula rantaian bekalan global, kata Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan AmBank Firdaos Rosli.

Beliau memberitahu, prestasi itu dicapai walaupun negara perlu memperkukuh eksport berasaskan nilai tambah domestik untuk mengekalkan daya saing jangka panjang,

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini, jumlah perdagangan Malaysia berkembang sebanyak 6.3 peratus tahun ke tahun atau RM182.4 bilion kepada RM3.1 trilion pada 2025, dipacu oleh peningkatan eksport sebanyak 6.6 peratus manakala import meningkat 6.0 peratus.

Firdaos berkata satu daripada peralihan struktur yang paling jelas iaitu peningkatan pesat dalam eksport semula yang merangkumi 22.8 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport Malaysia pada 2025 berbanding hanya 5.6 peratus pada 2010.

“Nampaknya Malaysia sedang mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat perdagangan dan pembuatan utama di Asia dengan berfungsi secara berkesan sebagai hab bagi aktiviti pemprosesan, pemasangan, logistik serta pengagihan semula barangan pada skala global.

“Ini bukan sahaja disebabkan oleh peralihan perdagangan susulan ketegangan perdagangan di antara Amerika Syarikat (AS) dengan China tetapi juga hasil daripada pendirian proaktif Malaysia dalam meneruskan pelbagai perjanjian perdagangan bebas sama ada secara dua hala atau pelbagai hala,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Firdaos menjelaskan eksport domestik atau eksport barangan yang berasal daripada sumber tempatan, kekal tidak banyak berubah.

Ia menunjukkan sebahagian besar pertumbuhan eksport Malaysia berpunca daripada peranan perantara negara ini dalam rantaian bekalan global dan bukannya hasil daripada peningkatan kapasiti pengeluaran domestik.

“Apabila kedua-dua faktor ini digabungkan, Malaysia jelas menjadi penerima manfaat daripada kepelbagaian rantaian bekalan global yang kurang bergantung kepada kandungan nilai tambah domestik memandangkan pemacu utama pertumbuhan berkenaan sebahagian besarnya merupakan syarikat multinasional,” katanya.

Mengenai eksport Malaysia ke AS, Firdaos mengunjurkan pertumbuhan akan terus kekal kukuh, disokong oleh permintaan berterusan terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) serta kitaran peningkatan industri semikonduktor global, walaupun kadar pertumbuhannya dijangka menjadi lebih sederhana.

Beliau berkata AS menyumbang 14.5 peratus daripada jumlah eksport Malaysia pada 2025, meningkat daripada 9.5 peratus pada 2010 sekali gus mengatasi China sebagai pasaran eksport terbesar Malaysia sejak 2024.

“Perubahan dalam dasar perdagangan AS tidak akan memberi kesan negatif terhadap eksport Malaysia ke negara itu berikutan rantaian bekalan syarikat-syarikat AS yang telah lama bertapak di Malaysia dan beroperasi sejak beberapa dekad lepas.

“Bagaimanapun, cabaran bagi Malaysia adalah untuk terus meningkatkan eksport yang mempunyai nilai tambah domestik ke AS dan seterusnya ke pasaran global,” katanya.

Sementara itu, DOSM melaporkan import dari China meningkat 19 peratus atau RM56.3 bilion kepada RM352.8 bilion pada 2025 daripada RM296.5 bilion pada tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh peningkatan import produk E&E.

Firdaos menyatakan peningkatan tersebut tidak seharusnya ditafsirkan secara negatif kerana import merupakan komponen penting dalam penyertaan Malaysia dalam perdagangan global.

“Salah tanggapan yang paling lazim mengenai perdagangan antarabangsa ialah import dianggap buruk manakala eksport pula dianggap baik.

“Perdagangan bersifat pelbagai hala. Sehubungan itu, peningkatan import dari China atau mana-mana negara lain bukanlah petanda kelemahan,” katanya.

Bahagian China dalam jumlah keseluruhan import Malaysia menokok daripada 12.6 peratus pada 2010 kepada 24.3 peratus pada 2025 manakala bahagiannya dalam import jentera dan kelengkapan pengangkutan Malaysia bertambah daripada 15.2 peratus kepada 28.9 peratus dalam tempoh yang sama.

Kedudukan strategik Malaysia dalam perdagangan global juga bergantung kepada importnya dari China.

Sama ada Malaysia mampu atau tidak untuk mencari pengganti dan mengurangkan kebergantungan terhadap import dari China, ia bergantung kepada sama ada wujudnya barangan pengganti yang sempurna bagi jentera dan barangan pengangkutan China dari negara lain untuk mengurangkan risiko penumpuan.

“Adakah Malaysia mampu menghasilkannya sendiri melalui dasar penggantian import atau tidak?

"Langkah itu memerlukan peningkatan ketara dalam kapasiti teknologi domestik serta skala ekonomi yang lebih besar berbanding China," tambah beliau.

Secara berasingan, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sektor luaran Malaysia menunjukkan prestasi yang luar biasa walaupun terpaksa berdepan dengan langkah-langkah perlindungan perdagangan yang diguna pakai oleh AS.

Beliau berkata ikatan diplomatik dan hubungan luar negara Malaysia menyumbang kepada prestasi kukuh tersebut sekali gus membolehkan negara merekodkan pertumbuhan eksport dua angka ke AS.

"Malaysia merekodkan pertumbuhan eksport dua angka ke AS sebanyak 17.1 peratus pada 2025 dengan pasaran tersebut menyumbang 14.5 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport, sekali gus menjadikannya destinasi eksport kedua terbesar negara selepas Singapura.

"Pendirian berkecuali secara aktif kita dalam hubungan luar negara sepatutnya dapat membantu Malaysia mengemudi persekitaran perdagangan global yang semakin mencabar serta menyokong prestasi sektor luaran yang lebih kukuh pada tahun-tahun mendatang," tambah beliau.

-- BERNAMA