ALOR GAJAH, 30 Julai (Bernama) -- Gabungan kekuatan Sabah sebagai destinasi ekopelancongan dan Melaka sebagai Bandar Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mampu memberi nilai tambah kepada industri pelancongan negara menerusi kerjasama strategik yang diperkukuh antara kedua-dua negeri.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata pertemuan bersama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka Datuk Abdul Razak Abdul Rahman membuka ruang kepada pertukaran pandangan, perkongsian amalan terbaik serta penerokaan peluang kerjasama yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua negeri, khususnya dalam memperkukuh industri pelancongan domestik dan antarabangsa.
"Masing-masing memiliki keunikan tersendiri. Sabah terkenal dengan kekayaan biodiversiti, ekopelancongan dan budaya masyarakat pelbagai etnik manakala Melaka mempunyai kekuatan sebagai Bandar Warisan Dunia UNESCO yang kaya dengan nilai sejarah dan warisan.
"Gabungan kekuatan ini mampu menghasilkan nilai tambah kepada industri pelancongan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri Sesi Libat Urus Strategik di sini yang turut dihadiri Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Jabatan Ketua Menteri Melaka Nasrul Ahmad serta Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Melaka Mohamad Bukhari Che Man.
Jafry berkata sesi itu turut membincangkan potensi kerjasama dalam aspek promosi pelancongan, pembangunan produk pelancongan berasaskan warisan dan budaya, pemuliharaan tapak warisan, pengurusan muzium, pembangunan industri kreatif serta pertukaran kepakaran antara agensi berkaitan.
Beliau berkata kerjasama rentas negeri seumpama itu penting bagi memastikan Malaysia terus menawarkan pengalaman pelancongan yang pelbagai, berkualiti dan berdaya saing selaras dengan aspirasi meningkatkan ketibaan pelancong serta perbelanjaan pelancongan negara.
Sabah juga bersedia memperluas jaringan kerjasama dengan Melaka melalui pelaksanaan program promosi bersama, pertukaran maklumat teknikal serta pembangunan pakej pelancongan yang menghubungkan destinasi-destinasi utama di kedua-dua negeri.
"Saya percaya hubungan erat antara Sabah dan Melaka akan terus diperkukuh melalui kerjasama strategik yang memberi manfaat kepada industri, komuniti setempat dan ekonomi negeri, sekali gus menyumbang kepada agenda pembangunan pelancongan negara secara menyeluruh," katanya.
-- BERNAMA