KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial 2026 yang diluluskan Dewan Negara hari ini disifatkan satu pencapaian penting dalam usaha membangunkan sistem penyampaian perkhidmatan sosial yang lebih profesional, berintegriti dan berkualiti demi kesejahteraan rakyat.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying berkata RUU itu digubal bagi mengiktiraf kerja sosial sebagai satu profesion yang memerlukan kompetensi, latihan formal dan standard amalan yang jelas.
“Profesion ini berbeza daripada aktiviti kesukarelawanan dan kerja penjagaan kerana melibatkan proses intervensi profesional yang sistematik bagi memastikan kesejahteraan individu, keluarga dan komuniti.
“RUU ini tidak mengawal selia aktiviti sukarelawan atau kerja penjagaan, sebaliknya memberi tumpuan kepada pengamal yang menyediakan perkhidmatan kerja sosial secara profesional,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Lim berkata RUU itu mewujudkan kerangka kawal selia melalui penubuhan Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia yang bertanggungjawab mendaftarkan pengamal kerja sosial, menetapkan standard kompetensi, mengawal selia etika dan disiplin profesion serta membangunkan peraturan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan sosial yang berkualiti dan berintegriti.
Pendekatan itu juga, beliau berkata membuka ruang kepada pembangunan kompetensi secara berterusan dan penyelarasan standard kerja sosial di seluruh negara.
“Selain melindungi rakyat daripada penyalahgunaan profesion oleh individu yang tidak berkelayakan, RUU ini turut menyediakan laluan pembangunan kerjaya yang lebih jelas kepada pengamal kerja sosial termasuk graduan baharu dan pengamal berpengalaman.
“Pada masa sama, pelaksanaannya secara berfasa serta penggubalan peraturan melalui libat urus bersama-sama kementerian, ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO) dan pengamal profesional akan memastikan sistem kawal selia ini kekal relevan, inklusif dan mampu memenuhi keperluan masyarakat yang semakin kompleks pada masa hadapan,” katanya.
Lim berkata penggubalan RUU itu mengambil kira cabaran baharu yang dihadapi negara susulan perubahan landskap demografi, peningkatan populasi warga emas, urbanisasi, kos sara hidup serta perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) yang kini mencetuskan cabaran sosial yang semakin kompleks.
Beliau berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyedari perkembangan teknologi berupaya meningkatkan kecekapan dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan sosial, namun tidak mampu menggantikan nilai kemanusiaan yang menjadi teras kepada profesion itu.
“Dengan kelulusan RUU PKS 2026 hari ini, KPWKM yakin lebih banyak ruang akan diwujudkan kepada pekerja sosial yang kompeten daripada sektor swasta dan NGO untuk berganding bahu bersama-sama kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan sosial yang lebih berkualiti, profesional dan berkesan kepada rakyat.
“Kelulusan RUU ini merupakan satu pelaburan jangka panjang negara dalam membina profesion kerja sosial yang lebih diyakini dan berdaya saing, dan saya juga yakin pengiktirafan ini akan membuka lebih banyak peluang serta menarik minat lebih ramai anak muda untuk menceburi bidang ini,” katanya.
-- BERNAMA