KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Jumlah permintaan kalangan penumpang udara global yang diukur menerusi perolehan hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK), susut 1.7 peratus bagi tahun ke tahun pada Jun 2026 dengan sebahagian besarnya akibat kemerosotan pasaran domestik di China, Amerika Syarikat dan Jepun.
Ketua Pengarah Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) Willie Walsh berkata kelemahan permintaan antarabangsa yang kini makin pulih terhadap syarikat penerbangan Timur Tengah, juga menjejaskan permintaan pada Jun 2026.
“Orang ramai terus melakukan perjalanan yang menjadi penyumbang penting terhadap pertumbuhan ekonomi global.
“Namun, tidak dapat dinafikan, kestabilan keadaan di Timur Tengah serta pemulihan bekalan minyak ke tahap normal akan meningkatkan prospek syarikat penerbangan, ekonomi dan masyarakat di serata dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas prospek masa depan, Walsh berkata walaupun prestasi di Asia Barat kini semakin baik, sebarang ketegangan baharu tidak akan membantu pemulihan rantau berkenaan manakala impak daripada lonjakan harga minyak akan terus membebankan pengguna dengan tambang yang lebih mahal.
Menurut IATA, tanpa mengambil kira Asia Barat, permintaan penumpang udara susut 0.6 peratus tahun ke tahun pada Jun 2026.
Di peringkat antarabangsa, permintaan penumpang turun 0.9 peratus berbanding Jun 2025 dan jika tidak merangkumi Asia Barat, permintaan meningkat 1.1 peratus tahun ke tahun pada Jun 2026.
Permintaan domestik pula berkurangan tiga peratus tahun ke tahun.
IATA memaklumkan syarikat penerbangan Asia Pasifik mencatat peningkatan permintaan penumpang sebanyak 0.4 peratus tahun ke tahun namun kapasiti susut 1.1 peratus dan faktor beban muatan meningkat 1.3 mata peratusan kepada 84.0 peratus berbanding Jun 2025.
“Pertumbuhan yang menyederhana itu disebabkan beberapa syarikat penerbangan bertindak mengurangkan laluan jarak dekat susulan lonjakan harga bahan api dengan kapasiti di laluan antarabangsa di Asia susut 4.8 peratus," menurutnya.
-- BERNAMA