Am 30/07/2026 08:01 PM

Pencen: TNG Digital Sokong Inisiatif JPA, Lebih 3.4 Juta Warga Emas Guna Platform

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pencen: TNG Digital Sokong Inisiatif JPA, Lebih 3.4 Juta Warga Emas Guna Platform

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- TNG Digital Sdn Bhd hari ini menyatakan sokongan terhadap  inisiatif baharu pembayaran pencen oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi Touch 'n Go (TNG) e-Wallet atau e-Dompet berikutan lebih 3.4 juta pengguna berusia 60 tahun dan ke atas memanfaatkan platform itu.

Dalam kenyataannya, syarikat itu memaklumkan saluran pembayaran berkenaan adalah bagi pesara yang tidak mempunyai akses pencen bulanan menerusi kaedah perbankan konvensional.

“Bagi ramai pesara, pencen bulanan mereka menjadi sumber pendapatan penting. Namun, ada yang mengalami kesukaran akses kepada wang ini apabila akaun mereka dibekukan atau disekat, termasuk selepas menjadi mangsa scam atau penipuan kewangan.

“Apabila mengalami situasi itu, beberapa pesara mungkin perlukan saluran alternatif untuk mendapatkan pembayaran pencen masing-masing, sekali gus mewujudkan kesukaran tidak wajar, khususnya untuk golongan berusia,” menurutnya.

Kenyataan itu sebagai susulan kepada pengumuman JPA sebelum ini mengenai sebanyak 835,146 pesara dan penerima pencen terbitan kini menikmati kemudahan menerusi inisiatif baharu iaitu penggunaan Touch 'n Go e-Wallet serta perluasan manfaat MyPesara Plus.

TNG Digital menyatakan pesara yang layak di bawah inisiatif itu juga boleh memohon kad Visa TNG e-Wallet tanpa bayaran fi yang membolehkan mereka membuat pembayaran, membeli-belah dan mengeluarkan wang tunai daripada dana pencen mereka.

“Kad yang dipautkan terus kepada baki TNG eWallet mereka, turut membolehkan pengeluaran tunai di mesin ATM serta pembayaran di premis pedagang Visa di seluruh dunia. Ini membolehkan pesara memilih kaedah pembayaran paling sesuai dengan keperluan harian mereka,” menurutnya.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Alan Ni berkata usaha keterangkuman kewangan adalah bagi memastikan tiada pesara terpinggir daripada mendapat akses bayaran pencen yang diharapkan.

Pada masa sama, syarikat itu juga berbesar hati dalam menyokong inisiatif terbabit dengan menyediakan pilihan pembayaran alternatif selamat dan mudah diakses menerusi TNG eWallet.

“Realiti lebih 3.4 juta warga emas Malaysia menggunakan TNG eWallet memberi keyakinan bahawa perkhidmatan kewangan digital ini mudah diakses dan inklusif.

“Menerusi langkah melengkapkan inisiatif itu dengan kad Visa TNG eWallet tanpa bayaran fi, kami berharap dapat memberi kemudahan kepada pesara yang layak untuk mengurus perbelanjaan harian mereka dengan lebih selesa dan fleksibel,” katanya.

-- BERNAMA