Am 29/07/2026 11:14 AM

Tinggal Berhampiran Pusat Data, Komuniti Di Johor Mula Beradaptasi Dengan TBB

Oleh Nina Muslim Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Tinggal Berhampiran Pusat Data, Komuniti Di Johor Mula Beradaptasi Dengan TBB
Gambar hiasan.

Di atas bumbung sebuah kandang, di mana tiga ekor kambing kelihatan ralit mengunyah makanan di sebalik palang kayu, terletak panel solar kecil menyerap cahaya matahari.

Kandang yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah pemiliknya itu dihubungkan dengan laluan berpapan yang bersalut lumpur akibat hujan pada sebelah pagi. Di sekitar kawasan itu pula, kelihatan pokok-pokok sawit muda hidup subur. 

Ayob Attan, adik pemilik kambing dan kandang berkenaan,  menuding pada lampu di kandang itu. Katanya lampu berkuasa solar pico yang tidak bergantung pada grid elektrik dan beroperasi tanpa wayar tersebut menepati keperluan mereka.

“(Kandang kambing) ini jauh dari rumah, agak jauh kalau nak tarik bekalan elektrik sampai sini,” katanya kepada Bernama.

Mengakui penggunaan lampu solar lebih mudah dan menjimatkan kos, Ayob, peneroka Felda generasi kedua bagaimanapun merasakan tidak ada keperluan untuk keluarganya memperluas penggunaan sistem solar.

Keluarga Ayob bukan satu-satunya yang menggunakan panel solar pico di Felda Bukit Batu, yang terletak kurang empat kilometer dari Sedenak Tech Park di sini. Taman teknologi itu merupakan kampus pusat data hiperskala (berskala sangat besar) terbesar di Johor yang mempunyai akses kepada tenaga boleh baharu (TBB) serta panel solar.

Tinjauan Bernama di sekitar Felda Bukit Batu mendapati banyak panel solar pico dipasang pada bumbung atau tiang. Namun, hampir tiada panel solar bumbung konvensional yang disambungkan kepada grid elektrik, iaitu sistem yang mampu membekalkan tenaga untuk kegunaan seluruh kediaman.

Maju Johor

(Panel solar pico ialah panel solar bersaiz kecil mudah alih yang lazimnya digunakan untuk kegunaan luar grid seperti lampu atau mengecas telefon bimbit.)

Gelombang revolusi hijau yang sedang berkembang di Malaysia, dipacu pelbagai inisiatif kerajaan serta disemarakkan oleh krisis bekalan global, dilihat masih belum benar-benar “tiba” di sebahagian besar pertempatan ini. Namun, rata-rata penduduk tidak melihat perkara itu sebagai satu masalah.

“Bukan mereka tak tahu tentang tenaga solar, mereka tahu. Cuma orang di sini rasa mereka belum memerlukan,” kata Ayob.

Dalam usaha Malaysia memperhebat agenda peralihan tenaga, kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan penggunaan TBB, khususnya pemasangan sistem solar atas bumbung. Langkah itu bertujuan membantu pengguna mengurangkan kos elektrik di samping memperkukuh keterjaminan tenaga negara.

 

HALANGAN KEPADA TENAGA SOLAR

Walaupun begitu, sekatan di Selat Hormuz serta kejutan bekalan dunia yang turut membawa impak kepada sektor tenaga negara, kian dirasai oleh komuniti yang terdiri daripada 292 buah keluarga ini.

Sebilangan penduduk mengakui bil elektrik mereka bagi Julai menunjukkan sedikit peningkatan, namun mereka berpendapat kos penggunaan elektrik masih mampu ditanggung. Apabila ditanya mengapa mereka tidak berminat memasang panel solar di rumah, kebanyakan daripada mereka menyatakan kos pemasangan dan penyelenggaraan yang tinggi sebagai faktor utama.

Inisiatif Peralihan Tenaga Solar Yang Diperkukuhkan (Solar ATAP); diperkenalkan kerajaan pada Januari 2026; bertujuan menghapuskan halangan kepada penggunaan solar seperti kuota dan pembiayaan. Pemilik rumah boleh menanggung sendiri kos pemasangan awal atau membeli tenaga solar daripada syarikat yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), yang akan menanggung kos pemasangan serta penyelenggaraan panel solar.

“Kami akan memasang panel solar di atas bangunan atau rumah, dan selepas itu, anda ada dua pembekal tenaga, iaitu TNB (Tenaga Nasional Berhad) dan kami. Kami menjual tenaga yang dijana oleh panel solar kepada anda pada kadar lebih rendah berbanding TNB,” jelas Pengurus Besar Green Xperts yang berpangkalan di Cyberjaya, Fitri Isahak.

Beliau berkata pemilik rumah juga boleh menjual lebihan tenaga solar yang tidak digunakan kepada TNB.

Namun di Felda Bukit Batu, keadaan rumah itu sendiri menjadi penghalang utama. Felda yang ditubuhkan pada 1964 itu menyaksikan kebanyakan rumah di situ sudah berusia, termasuklah keadaan bumbungnya. Kawasan kejiranan itu menampilkan suasana tipikal petempatan berpendapatan rendah hingga sederhana rendah - rumah kayu berselang-seli dengan rumah batu.

Ketua Pegawai Operasi SEDA Koh Keng Sen berkata keadaan bumbung merupakan faktor penting dalam pelaksanaan inisiatif kerajaan itu.

“Solar ATAP ialah program solar atas bumbung. Jadi, sebelum memasang sistem solar, anda perlu memastikan bumbung rumah cukup kukuh,” katanya kepada Bernama dalam temu bual menjelang Sidang Kemuncak Antarabangsa Tenaga Lestari ke-7 di Kuala Lumpur dari 11 hingga 13 Ogos ini.

Maju Johor
Ketua Pegawai Operasi SEDA Koh Keng Sen.

Beliau berkata persidangan itu, yang menghimpunkan penggubal dasar, pelabur, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pakar daripada pelbagai bidang, antara lain akan membincangkan isu peralihan tenaga bagi komuniti kurang berkemampuan.

Pengurus Felda Bukit Batu Mohd Hafiz Mahmood yang giat menggalakkan penduduk menggunakan tenaga solar, berkata kebanyakan bumbung rumah di situ masih mengandungi asbestos dan rata-rata penduduk tidak mampu menanggung kos menaik taraf bumbung rumah mereka.

Satu penyelesaian yang sedang diterokainya bersama-sama dengan Johor Land Group (JLG), iaitu pemilik Sedenak Tech Park, ialah kemungkinan membangunkan ladang solar berasaskan komuniti di atas tanah Felda bagi membekalkan tenaga kepada penduduk setempat serta pusat-pusat data.

“Mungkin jika ada satu kawasan khusus, contohnya kawasan lapang seperti ini, kita boleh pasang panel solar dan tenaga yang dijana disalurkan ke rumah-rumah,” katanya.

Maju Johor
Ayob Atan. --fotoBERNAMA (2026) HAKMILIK TERPELIHARA

Bernama menghubungi JLG untuk mendapatkan maklum balas, namun tiada sebarang respons diterima setakat artikel ini ditulis.

Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, Mohd Hafiz berpendapat penduduk kampung perlu beralih kepada tenaga solar, sama ada cepat atau lambat.

“Saya nampak memang ada keperluan untuk tenaga solar. Cuaca semakin panas. Apa sahaja peralatan yang kita perlukan, seperti penyaman udara, semuanya menggunakan elektrik,” katanya.

Namun begitu, ramai penduduk masih belum yakin. Mereka memberitahu Bernama bahawa mereka tidak melihat keperluan untuk beralih kepada tenaga solar kerana tidak mempunyai penyaman udara di rumah atau jarang menggunakan peralatan itu sehingga memerlukan pemasangan sistem solar.

 

ADAPTASI

Seorang penduduk, Kamarulzaman Abd Rahman, 57, berkata dia bukan sahaja tidak mahu bahkan tidak memerlukan panel solar di bumbung rumahnya bagi menyejukkan kediaman yang diduduki bersama-sama dengan anak-anak dan cucu.

Sebaliknya, dia memasang turbin pengudaraan di bumbung rumah, yang berfungsi menyedut keluar udara panas dari dalam rumah.

Maju Johor
Kamarulzaman Abdul Rahman -- fotoBERNAMA (2026) HAKMILIK TERPELIHARA

Ketika ditemui Bernama di beranda rumahnya, dia berkata anaknya mengambil keputusan memasang turbin pengudaraan itu ketika pandemik COVID-19.

“Dulu memang panas di sini. Tetapi selepas dipasang (turbin pengudaraan), saya rasa keadaan menjadi sejuk sedikit," katanya.

Memandangkan teknologi turbin pengudaraan mampu memberikan kesan penyejukan tanpa menggunakan tenaga elektrik yang banyak, Kamarulzaman gembira apabila mendapati bil elektriknya tidak meningkat dengan ketara selepas pemasangan itu. Malah, dia lebih yakin untuk memasang penyaman udara di rumahnya buat kali pertama.

"Saya tidak mahu pasang panel solar. Kosnya tinggi," katanya.

Kamarulzaman mungkin satu-satunya penduduk di Felda Bukit Batu yang menggunakan turbin pengudaraan tersebut, yang lebih banyak mencetuskan rasa ingin tahu dalam kalangan penduduk tentang teknologi berkenaan berbanding hasrat memasang sendiri alat itu.

Sementara itu, sejak kebelakangan ini, penduduk di Felda Bukit Batu hanya sedar akan ketibaan kakitangan Felda, Izatiyana Ismail, 34, apabila dia terpacul di depan mata. Tiada lagi bunyi enjin kereta wanita itu yang kini menunggang motosikal elektrik dengan bunyi hampir tidak kedengaran. 

Izatiyana, atau lebih mesra dipanggil Yana, membeli motosikal itu hampir setahun lalu. Pembelian yang dibuat tanpa berfikir dan hanya menurut kata hati. Dan dia tidak menyesal, menyifatkan kenderaan elektrik (EV) sebagai satu pelaburan yang berbaloi. 

Ketika rakan-rakan dan ahli keluarganya mengeluh mengenai kenaikan harga bahan api, dia hanya tumpang simpati tanpa merasai beban itu.

“Saya tak perlu risau tentang harga minyak,” katanya sambil ketawa ketika menunggang motosikal itu di kawasan letak kenderaan pejabat Felda.

“Bila mereka (penduduk) tanya, ‘Eh, kenapa awak tak risau?’, saya jawab, ‘Tengoklah saya naik motosikal apa’.”

Tinggal dan bekerja di kawasan Felda lazimnya  bermakna seseorang perlu menaiki atau memandu kenderaan untuk jarak yang jauh. Lebih-lebih lagi di kawasan ini di Johor, di mana deretan ladang kelapa sawit terbentang luas di sepanjang jalan dan pekan terdekat pula sejauh 20 hingga 30 kilometer.

Walaupun kesesakan lalu lintas bukan isu utama yang perlu dihadapi setiap hari, sebarang kenaikan harga petrol tetap memberi tekanan kepada penduduk seperti Yana, yang sebelum ini berulang-alik setiap hari dengan kereta dari rumahnya di Felda Ayer Hitam.

Perpindahannya ke Felda Bukit Batu sedikit sebanyak mengurangkan beban perbelanjaan bahan api. Namun, selepas memiliki EV, kebimbangan tentang kos bahan api terus lenyap.

Tambahnya: “Guna EV tidak perlukan petrol. Di kawasan Felda, kadang-kadang susah nak cari stesen minyak... jauh.”

Bagi penduduk Felda Bukit Batu, stesen minyak terdekat terletak lebih empat kilometer jauhnya di pekan Bukit Batu, berhampiran bandar Kelapa Sawit.

Walaupun pengecasan menggunakan tenaga solar bermakna hampir tiada sebarang kos, Yana tidak kisah menggunakan bekalan elektrik konvensional untuk mengecas motosikal elektriknya.

Menurutnya, ini kerana penjimatan daripada penggunaan petrol sudah lebih daripada mencukupi untuk menampung sebarang peningkatan kos akibat krisis bekalan global.

Dia juga  teruja menantikan pembukaan Sedenak Tech Park, dan berharap taman teknologi  itu akan membawa lebih banyak pilihan TBB ke kawasan itu. Malah, dia sedang berkira-kira untuk membeli EV keluaran negara Proton e.MAS, namun memilih untuk menunggu sehingga sebuah stesen pengecas EV dibuka berhampiran kawasan kediamannya.

“Komuniti di sini semakin berkembang. Saya harap kami akan dapat sebuah stesen pengecas EV,” katanya.