KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berhasrat menjalinkan kerjasama strategik yang lebih erat dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi membudayakan pemikiran masyarakat yang lebih dinamik, progresif dan inklusif.
Menterinya, Dr Zulkifli Hasan berkata sokongan media seperti Bernama amat penting dalam membantu menyampaikan mesej dan pelbagai program pembangunan minda umat Islam secara berkesan di seluruh negara.
“Kita sememangnya mempunyai pelbagai program, kempen dan juga gerak kerja untuk membentuk pemikiran masyarakat lebih dinamik dan progresif, sederhana, inklusif, yang meraikan perbezaan dan juga menghormati antara satu sama lain.
“Tugas itu bukan mudah, tetapi kita merasakan bahawa bagaimana Bernama boleh menjadi platform, wadah, mekanisme untuk mengarusperdanakan pemikiran, amalan dan budaya yang menghormati orang lain ini,” katanya selepas mengadakan lawatan rasmi ke Wisma Bernama di sini hari ini.
Kunjungan Zulkifli bersama delegasi disambut Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak dan Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Harlina Samson.
Mengulas mengenai transformasi agensi berita itu, Zulkifli memuji langkah pemodenan operasi Bernama yang disifatkannya berada pada landasan terbaik.
“Alhamdulillah hari ini saya melawat secara rasmi Bernama. Saya melihat bagaimana Bernama telahpun melalui satu proses reformasi yang sangat efisien dan baik…saya menyaksikan sendiri, saya pergi ke studio, digital media, pergi ke core business Bernama, kemudian saya beramah mesra dengan staf, warga Bernama.
“Kami di peringkat Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama sememangnya memerlukan sokongan daripada Bernama untuk membuat liputan dan menyampaikan mesej dan juga pesanan apa yang kita ingin sampaikan kepada masyarakat,” katanya.
-- BERNAMA